Selain Asiah Abd Jalil, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Azhar Azizan Harun juga mengatakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mempamerkan kertas undinya bukan satu kesalahan.
Ini kerana, tiada peruntukkan dalam undang-undang yang melarang sesiapa daripada mendedahkan undi mereka secara sukarela.
“Jika kita baca Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, jelas sekali tiada satu pun peruntukkan dalam seksyen tersebut terpakai kepada apa yang dilakukan oleh Sanusi.
Jelas Azhar, Seksyen 5 pada dasarnya melarang calon atau ejen mendapat maklumat mengenai butiran undi atau pengundi daripada mendedahkan maklumat sedemikian.
Seksyen itu juga melarang ejen bertanya kepada pengundi tentang calon yang diundi atau mendedahkan individu memohon kertas undi ketika proses pengundian.
“Jadi pada dasarnya, undang-undang itu direka untuk melindungi kerahsiaan undi yang diperoleh atau mungkin didapati oleh ejen atau claon dan kerani.
“Tetapi jika seseorang pengundi ingin mendedahkan undinya sendiri secara sukarela, tiada apa-apa pun di bawah undang-undang yang melarangnya,” katanya.
Sanusi pada 12 Ogos Sabtu didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menayangkan kertas undinya kepada petugas media semasa hari pembuangan undi.
Sanusi bagaimanapun berkata, dia tidak sengaja berbuat demikian kerana terlalu leka melayan kehendak petugas media yang meminta dia berpusing ke kiri kanan untuk bergambar, sehingga menyebabkan kertas undi itu terbuka sebelum dimasukkan dalam kotak undi.
Dalam masa sama, Sanusi turut meluahkan rasa kesalnya terhadap wartawan yang menggunakan gambar itu kerana ada banyak gambar lain yang boleh digunakan.