Sanusi saman Saifuddin kerana fitnah REE, Vincent Tan saman Sanusi RM200 juta kerana fitnah projek SMG - The Reporter

Sanusi saman Saifuddin kerana fitnah REE, Vincent Tan saman Sanusi RM200 juta kerana fitnah projek SMG

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengemukakan saman terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Muhammad Sanusi yang memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui firma guaman Tetuan Faizi & Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 3 Ogos lalu turut mendakwa Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu memfitnahnya menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Melalui pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata Saifuddin menyampaikan ceramah pada program Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, bertempat di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, pada jam 8.30 malam, 15 Julai lalu.

Dalam ceramah tersebut, Muhammad Sanusi mendakwa Saifuddin mengeluarkan kata-kata fitnah menuduhnya selaku Menteri Besar dan Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik dan mendapat liputan luas media.

Vincent Tan saman Sanusi

Sementara itu, pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan pula telah mengemukakan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan menuntut pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta.

Ia susulan kenyataan berunsur fitnah didakwa dibuat Muhammad Sanusi mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Kumpulan Berjaya dalam satu kenyataan berkata, satu surat tuntutan telah dihantar kepada Sanusi pada 5 Ogos lalu, menuntut beliau menarik balik kenyataan itu tanpa syarat.

Syarikat itu juga menuntut Sanusi agar memohon maaf secara terbuka, memberi jaminan tidak mengulangi tuduhan itu dan membayar pampasan sebanyak RM200 juta.

“Sekiranya Sanusi gagal mematuhi tuntutan itu menjelang 8 Ogos ini, satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap beliau.

“Pada masa sama, Vincent dan Berjaya Land turut membuat laporan polis terhadap Sanusi dan beberapa individu seperti seperti blogger Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin (lebih dikenali sebagai Chegubard), dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan-kenyataan fitnah terhadap Projek SMG,” katanya.

Sumber: Buletin Utama, Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!