Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menjelaskan kunjungan beliau ke Jepun baru-baru ini adalah kerana lawatan kerja dan bukannya berbulan madu seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Jelasnya lagi, lawatan kerja berkenaan yang membabitkan perbincangan dan proses pembelajaran pengurusan air bawah tanah itu telah dirancang dan diluluskan lebih awal pada April lalu.
Beliau turut memaklumkan tidak akan ke Jepun sekiranya mengetahui lebih awal bencana banjir yang berlaku minggu lalu. Kejadian banjir yang berlaku di sana katanya semasa hari kedua dia berada di Jepun.
“Saya mana tahu Allah Taala nak bagi banjir… kalau saya tahu, saya pun tak pergi dan kalau saya ada di sini pun banjir tidak akan surut. Banjir surut dengan kehendak Allah bukan kehendak saya, itu masalah orang ini (menjadikan isu politik).
“Saya sudah bagi nasihat semalam, (saya mendoakan agar) banjir ini akan surut, air akan pergi dan kemarau akan menjelma,” katanya.
Isteri-isteri berada di Kedah
Dalam pada itu, beliau turut menafikan kunjungan ke sana atas tiket bercuti dan melancong sedangkan katanya kedua-dua isteri berada di Kedah dalam tempoh berkenaan.
“Cuma saya harap agar semua dapat elakkan menulis benda-benda yang tidak betul, contohnya saya pergi honeymoon, itu semua tak betul, ada juga cakap saya bawa isteri muda ke Jepun, itu pun tak betul, depa (mereka berdua) bekerja dan berada di sini ketika saya di Jepun.
“Sebenarnya itu yang isu yang nak diperkatakan, bagi menenggelamkan isu sebenar banjir. Kerja golongan ini hanya nak hentam Sanusi, siapa boleh hentam saya, dia seolah-olah boleh mengeringkan banjir satu Kedah,” katanya sinis.
Sumber: Astro Awani