Sanum, gajah betina tanpa ekor yang bangkit dari derita | The Reporter

Sanum, gajah betina tanpa ekor yang bangkit dari derita

Sanum, gajah betina tanpa ekor berdiri jinak
Sanum kini berusia 20 tahun dan aktif membantu PERHILITAN dalam operasi memindahkan gajah liar. Gambar: TikTok dayah6197

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Siapa sangka seekor gajah betina yang hampir mati akibat serangan harimau kini menjadi simbol kekuatan dan harapan di belantara Perak. Kisah Sanum bukan kisah biasa tetapi kisah tentang perjuangan, kesakitan dan keberanian seekor haiwan liar yang enggan tunduk pada nasib.

Sanum ditemui dalam keadaan parah berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Sanum di Sungai Siput, Perak dengan hampir 80 peratus tubuhnya dipenuhi luka akibat cakar dan gigitan harimau. Lebih menyayat hati, ekornya hampir putus sehingga memaksa pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) melakukan pembedahan dan memotong ekor tersebut demi menyelamatkan nyawanya.

“Keadaannya masa itu terlalu tenat. Kami sangka dia takkan bertahan lama,” kata seorang anggota PERHILITAN yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Namun Sanum membuktikan sebaliknya. Dalam keperitan dan kesakitan yang tidak terbayang, gajah muda itu tetap berdiri dan berjuang untuk hidup.

Penjagaan rapi untuk Sanum

Ketika dibawa ke pusat rawatan, Sanum sangat agresif sehingga pihak PERHILITAN terpaksa memasangnya dalam pasung bagi memudahkan proses perubatan. Luka-luka di seluruh badan memerlukan rawatan harian termasuk sapuan ubat dan proses itu menjadi ujian berat bukan sahaja kepada Sanum tetapi juga pasukan penyelamat.

Nasib menyebelahi Sanum yang ketika itu masih muda. Tubuh mudanya mampu sembuh dengan baik dan kebanyakan luka tidak meninggalkan parut kekal. Lebih menggembirakan, sifatnya yang sebelum ini liar dan tidak boleh didekati kini berubah menjadi jinak dan mesra dengan kehadiran manusia serta pelawat yang datang ke pusat perlindungan.

Sanum kini merupakan tulang belakang PERHILITAN

Kini pada usia 20 tahun, Sanum bukan sahaja sihat dan ceria malah berperanan sebagai gajah denak yang membantu kakitangan PERHILITAN dalam operasi memindahkan gajah liar yang tersesat atau memasuki kawasan penempatan manusia. Kecekapannya membaca gerak geri haiwan sejenis menjadikan Sanum aset penting dalam usaha pemuliharaan.

Dari seekor gajah yang hampir mati, Sanum kini menjadi heroin yang disegani bukan kerana kekuatannya sahaja tetapi kerana semangatnya yang luar biasa. Kisahnya menjadi bukti bahawa luka yang dalam tidak semestinya menamatkan segalanya, kadangkala menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih bermakna.

Sumber : TikTok hujankelmarin dan Instagram izyan_syahida

Related Posts