Santuni pelancong pelbagai bangsa, sukarelawan Masjid Putra dipuji fasih berbahasa | The Reporter

Santuni pelancong pelbagai bangsa, sukarelawan Masjid Putra dipuji fasih berbahasa

Petugas Masjid Putra menyambut pelancong dengan senyuman sambil memberi penerangan dalam pelbagai bahasa asing
Petugas Masjid Putra memberikan penerangan kepada pelancong

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Putrajaya bukanlah satu nama asing dalam kalangan pelancong. Selain terkenal sebagai pusat pentadbiran kerajaan, pelbagai lokasi menarik turut menjadi tumpuan dan Masjid Putra atau lebih dikenali sebagai ‘masjid merah jambu’ adalah antara mercu tanda paling ikonik di sini.

Setiap hari, kawasan masjid ini dibanjiri pelancong dari seluruh dunia. Selain terpesona dengan seni binanya yang menakjubkan, ramai tidak menyangka wujud kisah luar biasa di sebaliknya. Sukarelawan dan petugas masjid bukan sahaja dikenali sebagai petugas yang mesra, tetapi juga fasih dalam pelbagai bahasa asing seperti Inggeris, Mandarin, Jepun, Perancis dan banyak lagi.

Kebiasaannya, kita hanya mendengar bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar untuk menerangkan sesuatu lokasi pelancongan kepada pelancong. Namun, di Masjid Putra, pelancong pastinya akan berasa kagum, bukan sahaja dengan layanan yang diberikan, malah dengan keupayaan petugas bertutur dalam bahasa ibunda mereka dengan baik.

Bahasa menambat hati pelancong

Antara wajah mesra yang menyambut pelancong di Masjid Putra ialah Muhammad Syukhri Shafee, sukarelawan dan petugas di bawah Islamic Outreach ABIM Mosque Tour Guide yang petah bertutur dalam pelbagai bahasa. Sejak mula berkhidmat di masjid ini pada tahun 2023, beliau membawa cerita unik tentang bagaimana setiap bahasa dikuasainya dengan penuh minat dan usaha.

Muhammad Syukhri sedang menerangkan kepada pelancong tentang maklumat Masjid Putra.

Bercerita lanjut mengenai Masjid Putra, beliau memaklumkan kehadiran pelancong ke masjid itu setiap hari tidak kurang daripada seribu orang.

“Masjid ini sebenarnya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai tempat kunjungan paling ramai dalam kalangan bukan Islam. Kebanyakan pelancong adalah daripada China. Kemudian Vietnam, Kemboja, Jepun, Korea, Taiwan serta negara-negara Eropah, Afrika dan Amerika Selatan,” katanya.

Tular di China

Beliau turut berkongsi bahawa Masjid Putra mula menjadi tular dalam kalangan pelancong China sejak ia popular di aplikasi TikTok pada tahun 2018.

“Sejak viral, pelancong China yang datang ke Malaysia boleh dikatakan Masjid Putra merupakan lokasi wajib yang dikunjungi mereka,” katanya.

Sukarelawan yang mesra dipanggil Makcik Putih berkongsi maklumat mengenai Masjid Putra

Selain beliau, petugas-petugas masjid yang lain turut menyambut pelancong dalam pelbagai bahasa seperti Mandarin, Jepun dan bahasa asing lain, sebagai usaha memudahkan komunikasi dan memberi penerangan berkaitan peraturan masjid dengan lebih berkesan.

Petugas masjid memberi peringatan secara berhemah kepada pelancong agar mematuhi etika berpakaian dan menutup aurat ketika berada di kawasan masjid

Sementara itu, seorang pelancong dari Jepun turut memuji penjelasan yang diberikan mengenai masjid tersebut, yang disifatkannya sebagai jelas dan menarik hingga menimbulkan minat untuk mengetahui lebih banyak maklumat lanjut.

“Kali pertama datang melawat ke masjid, keindahan dan kecantikan masjid melebihi jangkaan awal saya. Saya ingin tahu lebih lanjut. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk melawat masjid,” katanya.

Walaupun hanya dilihat sebagai satu interaksi kecil, namun ia mampu mencipta pengalaman besar dalam hati pelancong dari serata dunia apabila semuanya bermula daripada sekuntum senyuman dan sebaris kata dalam bahasa yang mereka fahami.

Ia turut memperlihatkan usaha dan semangat sukarelawan dan petugas untuk menyampaikan keindahan Islam serta keramahan rakyat Malaysia kepada dunia.

Related Posts