Saintis Jepun menang anugerah Ig Nobel dengan kajian cat lembu bercorak zebra | The Reporter

Saintis Jepun menang anugerah Ig Nobel dengan kajian cat lembu bercorak zebra

Seekor lembu dicat dengan jalur putih ala zebra sebagai sebahagian kajian saintis Jepun untuk kurangkan serangan lalat penghisap darah.
Lembu bercorak zebra hasil kajian saintis Jepun yang menang anugerah Ig Nobel. | Kredit gambar: Oddity Central

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sekumpulan saintis Jepun dari Pusat Penyelidikan Pertanian Aichi mencuri perhatian dunia apabila memenangi Hadiah Ig Nobel, sebuah anugerah satira yang menghargai kajian pelik tetapi bermanfaat, yang membuat orang ketawa sebelum akhirnya berfikir.

Kajian mereka membuktikan lembu yang dicat dengan jalur putih ala zebra lebih terlindung daripada serangan lalat penghisap darah. Pemerhatian menunjukkan jumlah hinggapan berkurangan sehingga 50 peratus berbanding lembu bercorak jalur hitam atau yang tidak dicat langsung.

Kurangkan tekanan, elak racun serangga

Lalat penghisap darah merupakan antara masalah utama dalam penternakan kerana ia menjejaskan proses makan, menyebabkan tekanan, mengurangkan pertambahan berat badan serta hasil susu lembu.

Baca juga:

Selama ini, penternak terpaksa bergantung kepada racun serangga, tetapi penggunaan berlebihan boleh menimbulkan kesan sampingan seperti pencemaran daging dan susu, selain risiko lalat menjadi kebal.

Kajian ini memberi harapan kepada alternatif lebih selamat dan murah. Sekadar menambah jalur putih pada tubuh lembu mampu mengurangkan serangan lalat dan sekali gus mengurangkan pergantungan kepada racun serangga.

Lembu dicat menyerupai kuda zebra | Kredit gambar: Oddity Central
Belum praktikal untuk ladang

Eksperimen itu turut mengukuhkan penemuan saintis antarabangsa dari Hungary, Sepanyol, Sweden dan Switzerland yang mendapati kuda berwarna putih kurang dihinggapi lalat berbanding kuda gelap. Walaupun puncanya masih belum difahami sepenuhnya, bukti ini cukup kuat untuk terus dikaji.

Penggunaan cat berasaskan air pula hanya bersifat sementara kerana ia akan luntur selepas beberapa minggu. Justeru, saintis percaya satu kaedah lebih tahan lama perlu ditemukan sebelum strategi ‘lembu zebra’ ini boleh diguna secara meluas.

Related Posts