Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, mempertikaikan perbelanjaan RM1 bilion yang diperuntukkan kerajaan bagi pembangunan aplikasi kecemasan Save Me 999, sambil menyifatkannya sebagai tidak munasabah dan tidak praktikal digunakan ketika situasi kecemasan.
Dalam video dimuat naiknya, Amira membandingkan kos pembangunan aplikasi mudah alih biasa yang hanya sekitar RM5,000 hingga RM100,000. Beliau turut menyoal keperluan sistem aplikasi yang memerlukan pengguna memuat turun, menunggu kata laluan sementara (OTP) dan mengisi semula jika terlupa kata laluan, sesuatu yang disifatkannya sebagai birokrasi ketika saat genting.
Sistem sebegitu katanya hanya menambah beban kepada pengguna, terutama warga emas dan mereka tanpa capaian internet.
“Apa jadi kalau tiada internet? Bagaimana dengan orang tua? Kenapa nak susahkan bila masa kecemasan?” soalnya.
Baca juga:
- Banjir Hatyai: Pelancong Malaysia enggan diselamatkan sebab belum waktu ‘check-out’
- Shamsul Iskandar letak jawatan Setiausaha Politik Kanan PM
- Lelaki mengaku bersalah liwat & bunuh bayi asuhan isteri, dipenjara 30 tahun & 13 sebatan
Amira turut mempersoalkan keutamaan kerajaan menggunakan dana sebanyak itu, dengan membandingkan potensi manfaat sekiranya wang berkenaan digunakan bagi membaik pulih lebih 1,000 sekolah atau membina 3,000 rumah mampu milik.
“RM1 bilion bukan jumlah kecil. Kalau boleh guna untuk pendidikan dan kesihatan, kenapa habiskan untuk aplikasi ini?” ujarnya.
Video berdurasi satu minit itu tular di media sosial dan menerima sokongan meluas. Ramai pengguna Instagram menyuarakan persetujuan dengan pandangannya, termasuk komen berbunyi “totally agree” dan “love your point YB”.
Ada juga yang mendakwa isu tersebut mengingatkan kepada kontroversi pembelian pin Jalur Gemilang yang pernah dipersoalkan sebelum ini.
Sebahagian netizen pula menegaskan bahawa sistem Save Me 999 berpotensi menyusahkan pengguna dalam keadaan panik, terutama ketika liputan internet lemah atau talian kecemasan terganggu.
Sumber: Sinar Daily








