Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Setiap hari, muncul pelbagai jenis makanan baharu yang kebanyakannya diinspirasikan daripada hidangan luar negara. Fenomena ini menjadi kebiasaan apabila orang ramai berkongsi pengalaman menikmati makanan tersebut di media sosial, mencetuskan minat yang meluas sehingga ramai berlumba-lumba mencubanya kerana takut ketinggalan (FOMO).
Namun, dalam kegairahan ini, terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan dengan menetapkan harga yang dianggap tidak berpatutan.
Terbaru, tular di media sosial mengenai makanan nachos viral yang dijual dengan harga RM15. Pelanggan perlu membawa sendiri keropok nachos, manakala peniaga hanya menambah bahan-bahan seperti homemade cheese sauce, homemade coleslaw, homemade tomato, 100 gram daging cincang daripada patty homemade, homemade garlic sauce, homemade BBQ sauce, homemade nachos sauce, serta taburan coriander dan daun bawang.
Hal ini mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. Seorang pengguna media sosial berkata, “RM15 untuk nachos, sos dan daging burger cincang sekeping? Gila tak berbaloi.”
Ada juga yang menyindir konsep homemade, mengatakan bahan-bahannya terlalu asas untuk harga tersebut.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan untuk lebih bijak dalam memilih makanan viral dan tidak terlalu terikut-ikut dengan trend semata-mata. Kawal pengambilan makanan ringan seperti ini untuk menjaga kesihatan dan mengelakkan pembaziran wang.








