Ridhuan Tee tegur Bersatu, jangan berebut jawatan PM | The Reporter

Ridhuan Tee tegur Bersatu, jangan berebut jawatan PM

Ridhuan Tee menegur Bersatu dalam isu perebutan jawatan Perdana Menteri, dengan latar Muhyiddin Yassin dan pemimpin lain di pentas politik.
Ridhuan Tee kata PAS lebih fokus pada kemenangan berbanding rebut jawatan, Bersatu kena ambil iktibar.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Mohd Ridhuan Tee Abdullah melalui hantaran Facebook semalam menegur pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar berhenti berebut soal siapa bakal Perdana Menteri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) 16 akan datang.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN) menegaskan pandangan itu selari dengan Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa, dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, bahawa persoalan siapa Perdana Menteri tidak wajar dihebohkan terlalu awal.

Katanya, hal tersebut sepatutnya dibincangkan secara tertutup dalam kalangan kepimpinan, bukan menonjolkan seorang individu seolah-olah tokoh lain tidak layak.

“Ramai dalam PAS dan Bersatu yang berwibawa untuk jadi PM, jadi kenapa hanya fokus kepada seorang sahaja?” soalnya.

Baca juga:

Kritik budaya politik Bersatu

Ridhuan Tee turut menyentuh mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah memegang jawatan Perdana Menteri. Menurutnya, keadaan kesihatan Muhyiddin serta kedudukannya yang sudah berusia seharusnya dijadikan pertimbangan.

“Sepatutnya Muhyiddin berterus terang dan berehat, jaga kesihatan. Kalau kes mahkamahnya melekat ketika menjadi PM, negara pula akan terpaksa mencari pengganti sekali lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, budaya politik dalam Bersatu masih membawa DNA UMNO lama yang dilihat menjadikan kuasa sebagai tiket untuk mencari kekayaan, sedangkan rakyat kini mahukan politik lebih bersih.

PAS lebih konsisten, Bersatu jangan tamak

Ridhuan Tee memuji pendekatan PAS yang lebih fokus untuk menang pilihan raya dahulu sebelum menentukan siapa bakal memegang jawatan Perdana Menteri.

Namun, beliau mengingatkan agar PAS juga tidak terlalu “malu alah” kerana parti itu memiliki ramai tokoh agamawan dan profesional yang layak.

“Tanpa PAS, Bersatu mungkin sudah lama terkubur. Jentera PAS jauh lebih kuat memenangkan calon Bersatu. Ini fakta,” katanya.

Sindiran terhadap penganalisis politik

Ridhuan Tee turut mengkritik segelintir penganalisis politik yang menuduh PAS sudah ‘tepu’ kerana tiada pertandingan dalam jawatan tertinggi parti.

“Penganalisis murahan ini tidak faham budaya politik PAS. Jangan bercakap tanpa ilmu, kalau berani mari kita berdebat,” katanya lagi.

Related Posts