RHB Bank tamatkan perkhidmatan kakitangan susulan posting hina Perdana Menteri | The Reporter

RHB Bank tamatkan perkhidmatan kakitangan susulan posting hina Perdana Menteri

RHB Bank tamatkan perkhidmatan kakitangan terpalit isu hina Perdana Menteri.
Gambar: MyJobe

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


RHB Bank hari ini memaklumkan bahawa siasatan dalaman berhubung insiden melibatkan salah laku seorang kakitangannya telah selesai, dengan individu terbabit tidak lagi berkhidmat bersama RHB berkuat kuasa 31 Oktober 2025.

Dalam kenyataan rasmi, bank itu menegaskan komitmen mereka untuk menegakkan standard tertinggi profesionalisme, integriti dan saling menghormati dalam semua urusan serta interaksi.

“RHB mempunyai dasar tolak ansur sifar terhadap sebarang tingkah laku yang melanggar Kod Etika dan Tatakelakuan kami,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Nurziswanis, dipercayai kakitangan bank berkenaan, tampil memohon maaf secara terbuka selepas satu hantaran di akaun media sosial miliknya menimbulkan kecaman kerana memaparkan suntingan gambar menghina Perdana Menteri.

Dalam permohonan maaf yang dimuat naik di Facebook, beliau menjelaskan tidak berniat untuk menyinggung atau memalukan mana-mana pihak.

“Saya mengakui bahawa tindakan tersebut telah menimbulkan salah faham, dan saya amat kesali atas perkara itu. Saya telah memadamkan posting berkenaan dan akan lebih berhati-hati pada masa akan datang bagi mengelakkan sebarang kejadian serupa,” katanya.

Baca juga:

Wanita itu turut menegaskan bahawa kandungan yang dikongsikan di akaun peribadinya tidak mewakili majikan tempat beliau bekerja.

“Segala pandangan dan posting yang dibuat adalah daripada akaun peribadi saya sendiri dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pihak majikan saya,” ujarnya.

Sebelum ini, RHB Banking Group dalam kenyataan awal berkata pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan telah menjalankan siasatan dalaman menyeluruh sebelum mengambil tindakan tatatertib yang sewajarnya.

Related Posts