Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Rezza Shah akhirnya menamatkan perjuangannya dalam program realiti Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) apabila tersingkir pada konsert minggu keempat yang disiarkan secara langsung dari Studio TV3, Glenmarie, malam tadi.
Keputusan itu dibuat selepas persembahan Rezza gagal memikat hati barisan juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan, termasuk juri jemputan, Hael Husaini. Penyingkiran Rezza turut dipengaruhi oleh peratusan undian rendah daripada penonton.
Selain Rezza, Alya Mardien juga diumumkan tersingkir walaupun berjaya membuat persembahan penuh penghayatan ketika menyampaikan lagu Bukan Lagi Kita nyanyian asal Nadeera Zaini dan Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul).
Kritikan pedas juri
Persembahan pembukaan Rezza pada minggu keempat mencetuskan reaksi tegas daripada juri. Datuk Yusry menyatakan rasa kesalnya kerana pernah memberikan imuniti kepada Rezza pada minggu pertama.
“Saya menyesal bagi imuniti kepada awak. Peluang itu patut diberikan kepada peserta lain yang lebih berdisiplin. Suara awak memang bagus, tapi disiplin sangat penting,” tegas Yusry.
Ziana Zain turut melontarkan kritikan keras terhadap persembahan Rezza yang disifatkan sebagai terburuk sepanjang empat minggu program berlangsung.
“Apa jadi dengan awak? Nyanyian tiada semangat. Tempo lari, tak ada fokus langsung. Tolong jadi lebih serius,” katanya yang jelas kecewa dengan peserta berusia 23 tahun itu.
Persembahan tidak memberangsangkan
Rezza yang membawakan lagu Kembali Merindu (Slam) dan Seragam Hitam (Kristal) secara medley dalam tema Sinergi Muzik, turut mendapat komentar negatif daripada juri tetap Indonesia, Cakra Khan.
“Saya dengar suara kamu penat, tempo juga terganggu. Harap kamu boleh lebih baik selepas ini,” ujar Cakra.
Penonton di studio kelihatan tergamam dengan suasana tegang akibat kritikan pedas terhadap Rezza.
Rezza sebelum ini mencuri perhatian pada minggu pertama apabila diselamatkan daripada penyingkiran melalui imuniti yang diberikan oleh juri tetap. Namun, penurunan konsistensi dan masalah disiplin di luar pentas menjadi faktor utama yang menyumbang kepada penyingkirannya.
Peserta yang masih meneruskan perjuangan dalam CSOIAM ialah Zazzleen, Eylia Guntabid, Kai Deva, Mariam, Marygrace dan Jimi. Jimi diumumkan sebagai peserta ‘Terpaling Fizz’ selepas mempamerkan persembahan memukau dengan lagu Senggol Senggolan dan Drama King.
Sumber: Berita Harian, Harian Metro