GEORGETOWN – Seorang remaja berusia 13 tahun maut selepas terjatuh dari Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Jalan Sungai, malam tadi, lapor Harian Metro.
Mangsa, M Vishallini, disahkan mati ketika dalam perjalanan ke hospital, dalam kejadian jam 7 malam itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, remaja terbabit diminta oleh ibunya ke kedai, sejam sebelum kejadian.
“Siasatan awal mendapati ibu mangsa memintanya pergi ke kedai di bawah flat tersebut, sejam sebelum kejadian. Namun, ibunya terkejut apabila dimaklumkan yang anaknya terjatuh dan mengalami kecederaan teruk di bahagian badan serta kepala,” katanya.
Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kejadian dan dari mana mangsa terjatuh kerana tiada sebarang saksi yang melihat kejadian itu. – PIXEL MEDIA