Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dikenali sebagai Hamza dilaporkan meninggal dunia selepas memakan tiga pek mi segera mentah.
Menurut bapanya, Hamza mula muntah, berpeluh dan mengalami sakit perut teruk hanya dalam masa 30 minit selepas memakan mi segera yang digemarinya. Mangsa dikejarkan ke hospital, namun doktor mengesyaki keracunan dan mengarahkan keluarganya memindahkan Hamza ke pusat toksikologi. Malangnya, beliau meninggal dunia dalam perjalanan pada Sabtu, 16 Ogos.
Pihak berkuasa Mesir mengesahkan penahanan pemilik kedai yang menjual mi segera tersebut. Sampel mi diambil untuk dianalisis, manakala jenazah Hamza dihantar untuk bedah siasat. Hasil siasatan awal tidak menemui bukti pencemaran makanan, sebaliknya kematian dipercayai berpunca daripada komplikasi pencernaan akut atau kemungkinan halangan usus akibat pengambilan mi mentah secara berlebihan.
Beberapa laporan media menyebut, pakar forensik menyatakan mi segera yang dimakan tidak semestinya beracun, namun cara pengambilan yang salah boleh mendatangkan risiko serius.

Baca juga:
- Disemadikan seperti wira, anjing jalanan Kali selamatkan 30 murid daripada ular berbisa
- Video LEGO karya Mahdi Hemmat curi perhatian dunia, bawa naratif konflik semasa
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
Kawalan pemakanan
Insiden ini segera menjadi topik hangat di media sosial Mesir. Ramai pengguna menggesa kerajaan memperketat pengawasan terhadap makanan ringan terproses, dengan merujuk kepada kandungan natrium tinggi serta bahan pengawet.
Pakar pemakanan di Mesir telah lama memberi amaran mengenai risiko kesihatan akibat pengambilan mi segera secara berlebihan, termasuk masalah gastrousus, tekanan darah tinggi, serta isu pemakanan tidak seimbang. Walaupun popular kerana harganya murah dan penyediaan yang mudah, pakar menegaskan ia tidak sesuai dijadikan makanan ruji, apatah lagi dimakan mentah.
Sumber: Ynet News, IBTimes Singapore, Independent Arabia








