Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang remaja berusia 18 tahun, Sian Alderton, dari Norwich, England, dikejutkan dengan pengalaman hampir maut selepas disahkan menghidap meningitis bakteria, penyakit jarang berlaku yang menyebabkan keradangan di sekitar otak.
Kejadian itu berlaku pada Oktober lalu ketika Sian keluar bersosial bersama rakan-rakannya dan berkongsi vape. Keesokan harinya, Sian mula berasa tidak sihat, dan apabila ibunya, Kerrie Durrant, 36, mendapati terdapat tompok merah muncul di wajahnya, Sian segera dibawa ke hospital. Doktor terpaksa menidurkannya selama empat hari untuk membolehkan tubuhnya melawan jangkitan tersebut.
Mengimbau kejadian itu, Sian berkata, “Saya hanya minum tiga atau empat gelas minuman. Saya bukan seorang yang kuat minum dan lebih suka bersosial. Malam itu, saya berkongsi vape dengan tiga rakan. Saya tidak fikir ia akan membawa masalah kerana mereka semua kawan saya.”
Menurut doktor yang merawatnya, bakteria tersebut mungkin berpunca daripada berkongsi vape, minuman, atau melalui ciuman ketika keluar malam, namun punca sebenar tidak dapat dikenal pasti.
Ibunya, Kerrie, berkata, “Segalanya berlaku begitu pantas. Di hospital, doktor memberitahu kami supaya bersedia untuk yang terburuk dan mengucapkan selamat tinggal kerana keadaan Sian sangat kritikal.”
Sian turut berkongsi pengalamannya, “Kali terakhir saya ingat ialah ketika memasuki hospital. Badan saya lemah dan sukar untuk bergerak. Selepas itu semuanya kabur.”
Selepas dua minggu dirawat di hospital, Sian akhirnya dibenarkan pulang. Jika bukan kerana tindakan pantas ibunya yang menggunakan teknik menekan kaca pada tompok merah di kulit Sian – satu kaedah untuk mengenal pasti gejala meningitis – keadaan mungkin lebih buruk.
Menariknya, hanya seminggu selepas pulih, Sian berjaya lulus ujian memandu. Pengalaman ini turut dijadikan pengajaran oleh Kerrie, yang menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tabiat berkongsi vape atau minuman, yang mungkin menjadi punca penyebaran bakteria meningitis. – Agensi