Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, mendedahkan kewujudan individu yang didakwa bertindak sebagai ejen provokasi dan dibayar untuk mencetuskan sentimen perkauman. Beliau menegaskan isu berunsur provokasi ini akan dibawa ke Kabinet bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil.
Memetik laporan Berita Harian, Ramanan berkata, provokasi yang semakin meningkat kebelakangan ini disebarkan terutamanya melalui media sosial dan di tempat awam, sehingga menimbulkan ketegangan antara kaum. Beliau menegaskan, hanya beberapa individu terlibat, tetapi kesannya tidak seharusnya menggugat perpaduan lebih 33 juta rakyat Malaysia.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan isu 3R iaitu kaum, agama, dan institusi diraja, kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Jika ada isu, gunakan saluran betul seperti membuat laporan polis atau membawa perkara ke mahkamah,” katanya.
Selain itu, Ramanan menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang tanpa mengira kaum. Beliau turut menegaskan bahawa isu mengenai individu yang mengisi borang PKR sebelum melakukan vandalisme di rumah ibadat dipercayai mempunyai motif provokasi politik dan tidak masuk akal.
Baca juga:
- KPDN Kelantan siasat peniaga caj RM30 baiki kalkulator masuk air
- Pemandu e-hailing dihukum penjara sebulan, curi barangan keperluan harian
- Dihina dan dicemuh, anggota Bomba Sandakan kongsi situasi sebenar
Beliau menambah bahawa peningkatan provokasi perkauman mungkin berkait dengan faktor politik menjelang pilihan raya.
“Perkara seperti ini biasanya menjadi lebih hangat apabila pilihan raya semakin hampir. Apabila tiada isu lain yang boleh dimainkan, ada pihak cuba menggunakan sentimen perkauman.
“Kerajaan akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, selain menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan cubaan segelintir pihak untuk memecahbelahkan masyarakat,” jelasnya.








