Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terpaksa mencatu bekalan elektrik di beberapa daerah sehingga Julai bagi mengawal kadar penggunaan elektrik yang dilaporkan melebihi had dan sistem Grid Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, keadaan cuaca panas yang melanda Malaysia sejak kebelakangan ini menyebabkan ramai pengguna menggunakan penghawa dingin di kediaman masing-masing yang menjadi punca kadar penggunaan elektrik meningkat secara mendadak.
“SESB perlu melakukan catuan bekalan untuk mengawal kestabilan grid di Sabah. Dalam masa sama, SESB sedang melaksanakan tindakan jangka pendek dengan menambah kapasiti bekalan elektrik melalui penambahan jana kuasa mudah alih.
“Untuk makluman, catuan ini akan dilakukan sehingga bulan Julai tahun ini. Jadi kita berpesan kepada pengguna untuk bersabar,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB, Mohd Yaakob Jaafar menafikan terdapat unsur sabotaj yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di negeri ini.
Sebaliknya, gangguan yang berlaku pada Selasa dan Rabu lalu adalah berpunca daripada kerosakan tidak terancang pada peralatan di Karambunai dan Putatan.
Sumber: Harian Metro