Prabowo dikritik selepas setuju AS kena tarif 19%, rakyat anggap perjanjian ini merugikan Indonesia | The Reporter

Prabowo dikritik selepas setuju AS kena tarif 19%, rakyat anggap perjanjian ini merugikan Indonesia

Prabowo Subianto dan Donald Trump selepas umum perjanjian perdagangan AS-Indonesia.
Prabowo dan Trump ketika umumkan perjanjian dagang yang dikenakan tarif 19% ke atas Indonesia, mencetus kritikan ramai.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan semua produk dari Indonesia yang memasuki pasaran AS akan dikenakan tarif import sebanyak 19%. Sebaliknya, produk dari AS ke Indonesia akan dibenarkan masuk tanpa sebarang tarif atau sekatan bukan tarif.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Indonesia bersetuju untuk membeli pelbagai barangan dari AS termasuk produk tenaga bernilai USD15 bilion (sekitar RM71 bilion), produk pertanian bernilai USD4.5 bilion (RM21 bilion), serta 50 pesawat Boeing model 777. Kesemua ini dibuat sebagai pertukaran kepada penurunan tarif daripada 32% kepada 19%, satu kadar yang masih dianggap tinggi oleh banyak pihak.

Indonesia beri terlalu banyak, AS dapat terlalu mudah?

Penganalisis perdagangan melihat struktur perjanjian ini sebagai tidak seimbang. Walaupun Indonesia kononnya berjaya mengelak tarif 32%, hakikatnya mereka tetap dikenakan 19%, satu kadar yang masih cukup tinggi untuk menjejaskan daya saing eksport. Pada masa sama, AS menikmati akses penuh ke pasaran Indonesia tanpa perlu membayar sebarang tarif dan turut berjaya menjual produk mereka dalam jumlah yang sangat besar.

Tiada jaminan eksport Indonesia ke AS akan meningkat semata-mata kerana penurunan tarif ini. Sebaliknya, Indonesia kini terikat dengan komitmen pembelian berskala besar yang mungkin membebankan kewangan negara, terutamanya jika barangan tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam ekonomi domestik. Lebih membimbangkan, kemasukan barangan AS tanpa tarif boleh memberi tekanan kepada industri tempatan dan menyebabkan kesan limpahan negatif kepada perusahaan kecil dan pekerja.

Baca juga:

Rakyat Indonesia persoal keutamaan kerajaan

Susulan pengumuman ini, reaksi media sosial di Indonesia memuncak dengan kecaman dan sindiran terhadap keputusan kerajaan. Ramai pengguna menyifatkan perjanjian ini sebagai satu bentuk tunduk kepada tekanan AS. Sebahagian besar rakyat menganggap perjanjian ini berat sebelah dan membebankan negara, terutamanya apabila kerajaan terpaksa berbelanja besar untuk membeli barangan dari negara luar sedangkan hasilnya kepada rakyat masih belum jelas.

Tinjauan mendapati, ramai yang bimbang dengan kesan jangka panjang terhadap ekonomi domestik. Mereka mempersoalkan kenapa negara perlu membayar berbilion dolar untuk mendapatkan potongan tarif yang masih tinggi, sedangkan AS langsung tidak dikenakan sebarang sekatan untuk menjual ke Indonesia. Rasa tidak puas hati ini turut disuarakan melalui sindiran bahawa negara seolah-olah ‘membayar untuk dijajah semula’.

Di mana manfaat untuk rakyat?

Kerajaan mungkin menganggap perjanjian ini sebagai kejayaan diplomatik, tetapi dari sudut rakyat biasa, pulangan ekonomi masih belum jelas. Tanpa manfaat terus kepada pengguna, usahawan tempatan atau pekerjaan, persepsi umum ialah negara telah membayar terlalu mahal hanya untuk ‘diskaun’ yang kecil. Dalam situasi ekonomi yang belum pulih sepenuhnya, keputusan sebegini hanya mengundang lebih banyak persoalan.

Apa yang jelas, AS mendapat banyak manfaat dengan kos yang sangat rendah, manakala Indonesia pula perlu menanggung beban ekonomi dan persepsi awam yang semakin terhakis.

Sumber: NowDots

Related Posts