Rafizi tegur Menteri Pendidikan ajak murid ucap 'Selamat hari lahir, we love you PMX' | The Reporter

Rafizi tegur Menteri Pendidikan ajak murid ucap ‘Selamat hari lahir, we love you PMX’

Close-up Rafizi Ramli berbaju batik biru dengan inset gambar Fadhlina Sidek bertudung biru muda.
Rafizi Ramli menegur tindakan Fadhlina Sidek mengajak murid ucap “Selamat hari lahir, we love you PMX” di sekolah.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menegur tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang mengajak murid mengucapkan “Selamat hari lahir PMX, We Love You PMX” sempena ulang tahun ke-78 Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Insiden itu dipercayai berlaku ketika satu program rasmi di sebuah sekolah baru-baru ini dan rakamannya tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Sekolah perlu kekal neutral

Rafizi menegaskan, sekolah sepatutnya menjadi ruang neutral dan bebas daripada unsur politik atau mesej yang bersifat peribadi. Pemimpin dan pendidik perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai mengajak pelajar menunjukkan sokongan kepada tokoh politik tertentu.

“Jangan kita campur adukkan kehendak dan kemahuan kita dengan pendidikan kanak-kanak. Kalau dia sangat cintakan PMX dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan dari dia sendiri, tak perlu libatkan murid-murid,” katanya.

Baca juga:

Boleh jadi amalan tidak sihat

Rafizi bimbang tindakan seperti itu akan menjadi contoh buruk untuk masa hadapan, apabila menteri atau pemimpin lain mungkin menggunakan platform sekolah bagi mendapatkan sokongan pelajar.

Beliau mengakui berasa malu kerana insiden itu melibatkan menteri daripada parti yang sama, apatah lagi perkara sebegini sering dikecam jika dilakukan pihak lawan.

“Sekolah tidak boleh campur adukkan dengan politik dan pandangan peribadi kita. Kalau orang lain buat, saya akan marah. Tapi kini bila Menteri Pendidikan dari PKR sendiri yang buat, saya pun rasa malu,” ujarnya.

Reaksi masyarakat

Isu ini mencetuskan perdebatan di media sosial. Ada yang menganggap ucapan itu sekadar tanda penghormatan bersempena hari lahir Perdana Menteri, namun ramai yang mempersoalkan kesesuaiannya melibatkan murid sekolah dalam acara seperti itu.

Sehingga kini, Fadhlina belum memberikan sebarang kenyataan balas berhubung kritikan yang diterimanya.

Sumber: Facebook Rafizi Ramli

Related Posts