'Perjuangan saya tak ternilai' - Rafidah Ibrahim tekad teruskan saman | The Reporter

‘Perjuangan saya tak ternilai’ – Rafidah Ibrahim tekad teruskan saman

Seorang wanita berpakaian hitam memberi ucapan sambil menunjuk arah, dikelilingi penduduk kampung dan pegawai penguat kuasa.
Rafidah Ibrahim berucap lantang ketika berhadapan dengan pihak berkuasa dalam isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru.
Rayuan telah difailkan pada saat akhir, kata Rafidah

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Rafidah Ibrahim menegaskan bahawa perjuangannya masih belum tamat, meskipun saman terhadap Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor telah digugurkan secara rasmi di mahkamah. Dalam satu hantaran di Instagram, beliau berkata rayuan telah difailkan dua jam sebelum tarikh akhir 4 Ogos 2025.

“Saya saja je buat rayuan pada saat-saat terakhir. Sebab kita nak tengok siapa yang ‘pick up’ cerita ini,” katanya sambil menyindir penyokong kerajaan yang menurutnya cuba menyusahkan perjuangannya.

Faktamologi dedah semua saman telah ditarik balik

Sebelum itu, akaun media sosial Faktamologi melaporkan semua saman yang difailkan oleh Rafidah dan penduduk Kampung Sungai Baru telah ditarik balik secara rasmi di mahkamah, melibatkan dua entiti utiliti utama.

  • Pada 30 Disember 2024, saman terhadap Air Selangor digugurkan.
  • Pada 15 Mei 2025, saman terhadap TNB pula ditarik balik.

Dokumen mahkamah yang dikongsi menunjukkan penarikan dilakukan tanpa kos dan tanpa hak untuk fail semula, menandakan penutupan muktamad dua kes berkenaan.

Baca juga:

Tuduh wujud pengkhianatan dan seru pertahan tanah warisan

Rafidah mendakwa tindakan pihak tertentu yang menghebohkan berita ini menjelang tarikh akhir rayuan adalah cubaan untuk menjatuhkannya.

“Inilah dia pengkhianat-pengkhianat yang melebihkan pemaju daripada mempertahankan Tanah Melayu sendiri,” katanya.

Beliau turut menyasarkan kritikan terhadap pemaju dari Singapura yang terlibat dalam pembangunan semula Kampung Baru, dan berjanji akan terus mempertahankan tanah warisan Melayu.

“Kepada pemaju Cina daripada Singapura, inshaAllah selagi nyawa dikandung badan, saya akan perjuangkan Tanah Melayu habis-habisan,” ujarnya.

Saman utama masih berjalan

Dalam hantarannya, Rafidah mendedahkan bahawa pihak Peguam Negara gagal membatalkan writ saman yang telah difailkan terhadap Pejabat Tanah, sekali gus menurutnya kes utama masih dapat diteruskan di mahkamah.

“Kalau kami dah menang nanti, semua saman ke atas penduduk akan digugurkan,” katanya.

Beliau turut menyatakan nilai perjuangan ini tidak boleh diukur dengan wang ringgit, sebaliknya berpegang pada prinsip bahawa tanah pusaka perlu dipertahankan hingga ke akhirnya.

Sumber: Instagram Rafidah

Related Posts