Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Wanita asnaf, Puteri, yang sebelum ini dikecam hebat selepas video mengadu mengenai jenis lampin yang diterima daripada MAIWP tular, akhirnya tampil menjelaskan keadaan sebenar dan memohon maaf kepada semua pihak.
Menurut Puteri, dia tidak pernah berniat menolak bantuan yang diberikan, malah sangat bersyukur kerana banyak sumbangan telah diterima untuk keperluan anak-anaknya.
“Saya minta maaf kepada netizen, saya bukan menolak pemberian pampers (pelekat) untuk anak saya. Saya bersyukur sangat-sangat kepada Allah SWT kerana MAIWP banyak memberi sumbangan dan pelbagai bantuan kepada anak-anak saya.”
Bimbang najis anak bersepah
Jelas Puteri, anak istimewanya yang berusia 11 tahun tidak sesuai menggunakan lampin jenis pelekat kerana sering menanggalkannya sendiri, menyebabkan najis bersepah dan menyukarkan keadaan terutama ketika dia sendiri sedang sakit dan tidak dapat bergerak.
“Anak istimewa saya ini tak boleh pakai lampin jenis pelekat. Dia boleh buka lampin itu, jadi saya memerlukan lampin jenis seluar kerana dia tidak dapat membukanya.
“Dalam keadaan saya sakit dan sukar bergerak seperti ini, bila anak saya buka pelekat itu, najisnya akan bersepah.”
Puteri juga meluahkan rasa syukur kerana isu tersebut akhirnya dapat diselesaikan selepas pertemuan bersama wakil syarikat pembekal yang dilantik MAIWP.
“Saya bersyukur pada Allah SWT telah berjumpa dengan Encik Zaidi daripada MAIWP dan menyelesaikan masalah yang ada sekarang.”
Mohon netizen hentikan kecaman
Dalam pada itu, wakil syarikat pembekal MAIWP, Encik Zaidi, memaklumkan pihaknya telah menukar bantuan lampin kepada jenis seluar seperti dimohon Puteri, selain turut mengemaskini maklumat penerima dalam sistem.
“Hari ini (Isnin) telah membuat pertukaran lampin daripada jenis pelekat ke jenis seluar. Sistem dalam MAIWP juga telah dikemaskini.”
Dia turut memohon maaf atas kelemahan yang mungkin berlaku dan menyeru agar semua pihak menghentikan kecaman serta menyelesaikan isu secara damai.
“Kami sekali lagi memohon maaf kalau ada kesilapan dan kelemahan daripada pihak kami dan pihak MAIWP. Kita boleh hentikan komen negatif hentam menghentam supaya kita boleh selesaikan semua benda yang boleh dibincang secara baik.”
Terdahulu, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kak Jan, turut tampil mempertahankan Puteri selepas video berkenaan tular dan mengundang kecaman netizen.
Katanya, Puteri tidak bersalah dan hanya menyuarakan keperluan berdasarkan situasi sebenar yang dialaminya ketika sedang berpantang dan menjaga anak-anak.
Kak Jan juga mengingatkan netizen agar tidak terlalu cepat menghukum tanpa memahami keseluruhan cerita, sambil menegaskan bahawa Puteri bersyukur atas bantuan yang diterima dan tidak pernah menolak sumbangan MAIWP.
Sumber: IPK TV4








