Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular memaparkan seorang wanita yang bertindak mencuri sebuah beg telekung jemaah wanita di sebuah Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati.
Dalam kejadian jam 5.40 pagi Ahad itu, wanita berkenaan dilihat berpura-pura mahu melakukan qiamullail sebelum bertindak untuk mencuri barangan jemaah.
Menerusi satu laporan, pengurus masjid itu, Luqman Hafiz Mohd Amir berkata, berdasarkan rakaman CCTV, suspek dipercayai berlegar-legar di ruang solat wanita.
“Hasil penelitian CCTV kita dapati wanita itu hanya menunaikan solat hajat di penghujung qiamullail sebelum mencuri beg telekung tersebut,” katanya.
Luqman Hafiz berkata, tindakan itu dilakukan sebaik semua jemaah wanita selesai mengikuti qiamullail dan keluar ke khemah untuk bersahur.
“Wanita itu memakai telekung separuh dan kemudian menanggalkannya sebelum menghampiri rak berdekatan pintu belakang.
“Pada mulanya, wanita itu cuba menyelongkar beg tersebut, namun menyedari jemaah yang selesai bersahur mula masuk ke dalam ruang solat, dia kemudiannya terus keluar dari masjid,” jelas beliau.
Mangsa lapor pada pengurusan masjid
Luqman Hafiz memberitahu, kejadian kecurian itu disedari seorang wanita berusia 60 tahun selepas mendapati beg telekung yang diletakkan berhampiran rak pintu belakang hilang. Mangsa kemudiaanya melaporkan kepada pihak pengurusan masjid.
“Kami dimaklumkan, beberapa barangan dalam beg itu dicuri antaranya telekung dan sejumlah wang,” katanya.
Ujar beliau, kes kecurian beg jemaah lain di ruang solat merupakan kejadian kali pertama di masjid itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa mengesahkan menerima laporan polis tersebut.
“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.
Sumber: Sinar Harian, Love Kuala Selangor








