'Punca kematian Zayn Rayyan akibat jerutan, bukan mati lemas' – Doktor pakar | The Reporter

‘Punca kematian Zayn Rayyan akibat jerutan, bukan mati lemas’ – Doktor pakar

Punca kematian Zayn
Terdapat luka potongan, tikaman dan hirisan di telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri Zayn. Gambar: Instagram Ismanira.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pakar Perubatan Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan mengesahkan punca kematian Zayn Rayyan Abdul Matin, 6, adalah disebabkan jerutan di leher, dan bukannya akibat lemas.

Perkara itu dimaklumkan beliau semasa memberi keterangan di Mahkamah Sesyen, pada Selasa, dalam perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autism tersebut membabitkan ibu bapanya, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Menurut Dr Rohayu, jerutan itu berkemungkinan dilakukan menggunakan objek seperti tali, lanyard atau kain dipintal, dan telah menyebabkan saluran oksigen ke paru-paru serta otak terhenti, hingga membawa kepada kematian.

“Jerutan dapat dilihat berdasarkan kesan lebam pada otot leher dan kelenjar tiroid. Ia cukup kuat hingga menyekat oksigen ke paru-paru dan otak,” katanya.

Kesan jerutan jelas kelihatan bertindih enam sentimeter di bawah telinga kanan dan kiri mangsa. Beliau turut memaklumkan terdapat kesan trauma tumpul dan tajam pada tubuh mangsa, termasuk lebam di pelbagai bahagian tubuh serta luka potongan dan hirisan pada telinga, kepala, dan lengan.

Benda asing ditemui dalam rongga pernafasan dan perut

Pemeriksaan turut menemui benda asing dalam rongga pernafasan dan perut, manakala lelangit mangsa turut lebam, dipercayai akibat benda asing dimasukkan secara paksa ke dalam mulut. Bagaimanapun, ia bukan punca kematian.

Selain itu, Dr Rohayu juga memaklumkan terdapat luka koyak dan lelasan di bahagian dubur mangsa akibat kemasukan objek tumpul, namun kecederaan tersebut juga tidak menyebabkan kematian.

“Ada kesan trauma tumpul seperti lebam di mata, dahi, bibir, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, antara dua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan kanan serta kiri.

“Ada juga luka potongan, tikaman dan hirisan di telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri,” katanya.

Tambahnya, kesan-kesan trauma tumpul dan tajam ini juga tidak mematikan tetapi satu penderaan fizikal ke atas mangsa.

“Semua kecederaan ini adalah kecederaan baharu berdasarkan reaksi sistem pertahanan badan yang dilihat melalui pemeriksaan mikroskopik,” katanya.

Kematian bukan disebabkan mati lemas

Menurutnya lagi, tiada luka pertahanan atau kesan menumbuk dan menendang pada mayat mangsa, serta tiada penyakit serius pada organ dalaman. Beliau juga menyatakan kedutan pada kulit tapak tangan dan kaki katanya, hanya menunjukkan sentuhan atau rendaman air dan bukan punca kematian kerana Zayn Rayyan.

“Jasad si mati telah mula membusuk, berdasarkan warna kulitnya yang kehijauan, mengelupas dan abdomen yang mengembung,” katanya.

Terdahulu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia pada 6 Disember 2023 di anak sungai berhampiran Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira 200 meter dari kediamannya, selepas dilaporkan hilang.

Pasangan suami isteri terbabit didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Sinar Harian

Related Posts