PRESMA sarankan kerajaan jangan benarkan penjual bukan Islam gunakan nama 'nasi kandar' atau 'nasi lemak' - The Reporter

PRESMA sarankan kerajaan jangan benarkan penjual bukan Islam gunakan nama ‘nasi kandar’ atau ‘nasi lemak’

Susulan tular mengenai isu seorang wanita yang didakwa mempromosikan nasi kandar dengan hidangan babi, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyarankan kerajaan supaya tidak membenarkan penggunaan nama nasi lemak atau nasi kandar digunakan oleh penjual bukan Islam.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, ia penting bagi menjaga keindahan nama dan jenama makanan tradisi dan popular itu. Agar ia terus terpelihara kerana umum mengetahui kedua-dua menu tersebut diyakini halal dan bersih.

“Nasi lemak adalah makan tradisi orang Melayu sejak sekian lamanya yang terdapat di semua bahagian negara ini. Begitu juga nasi kandar yang menjadi satu hidangan popular yang dimahsyurkan oleh peniaga dan restoran India Muslim. Kedua makanan ini adalah halal dan bersih.

“Malangnya, didapati ada pihak yang menaja nasi lemak dan nasi kandar dihidangkan dan dijual bersama daging babi dan sosej. Yang pasti persoalan aspek kebersihan makanan itu diragui.

“Melihat kepada berapa komen, tindakan penjual menggunakan nama nasi lemak atau nasi kandar daging babi sudah mencemarkan jenama nasi lemak dan nasi kandar itu sendiri.

“Justeru, kita perlu sarankan kepada kerajaan supaya tidak membenarkan penggunaan nama makanan ini oleh penjual bukan Melayu atau Islam agar keindahan nama makanan tradisi ini terus terpelihara,” katanya.

Menurutnya, kegagalan pihak berwajib mengambil tindakan segera memungkinkan wujud trend makanan lain dengan lauk babi tanpa mengira sensitiviti masyarakat.

“Pegawai dari Kementerian Perpaduan sudah bercakap dengan kami dan memberikan nasihat atas isu ini. Seperti dimaklumkan, mereka akan memanggil operator yang menjual nasi lemak babi dan nasi kandar babi ini.

“Kita juga akan duduk sekali untuk mengharmonikan isu ini dan kita minta kalau boleh perkataan nasi kandar itu dikeluarkan daripada menu. Sensitiviti itu perlu mengambil kira apa saja yang akan datang,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!