Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa, Afdlin Shauki menegaskan bahawa politik tidak seharusnya menghakis nilai asas kemanusiaan, adab dan ihsan, khususnya ketika negara berada dalam keadaan sensitif.
Menurut beliau, sebagai ahli PKR, beliau secara terbuka menyatakan ketidaksetujuan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Puchong, YB Yeo Bee Yin, yang disifatkannya seolah-olah ‘meraikan’ kesusahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Isunya bukan soal menyokong atau membenci individu tertentu, tetapi soal sensitiviti, kebijaksanaan dan kemanusiaan. Dalam budaya masyarakat Malaysia, kita tidak diajar untuk bergembira atas musibah orang lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Afdlin menegaskan bahawa sikap sedemikian tidak mencerminkan nilai masyarakat tempatan mahupun semangat perjuangan reformasi yang sering dilaungkan.
“Kita hidup dalam sebuah negara yang memerlukan perpaduan, bukan kenyataan yang menambah luka dan perpecahan,” katanya.
Baca juga:
- ‘Papa Zola dan Mama Zila’ versi sebenar
- ‘Politik tanpa ihsan adalah politik tanpa arah’ – Afdlin Shauki
- ‘Hanya Mat Jenin boleh dapat terowong percuma’ – Lim Guan Eng
Mengulas situasi semasa negara, Afdlin berkata Malaysia kini berdepan tekanan ekonomi, keresahan sosial dan keletihan politik, justeru setiap kenyataan pemimpin perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab.
“Dalam keadaan ini, kita sepatutnya membantu Perdana Menteri dan kerajaan MADANI memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, kos sara hidup, pembinaan institusi dan perpaduan nasional,” katanya.
Beliau menegaskan isu berkenaan bukan isu UMNO semata-mata, malah dalam kalangan ahli Keadilan sendiri terdapat pandangan yang tidak bersetuju dengan pendekatan yang dianggap tidak mencerminkan kematangan politik.
“Malaysia hari ini memerlukan kepimpinan yang waras, beradab dan berjiwa besar. Kalau orang lain buat, tidak bermakna kita perlu mengikutinya,” katanya.









