Polis tak benarkan perhimpunan di Sogo malam ini | The Reporter

Polis tak benarkan perhimpunan di Sogo malam ini

Polis tidak benarkan perhimpunan di Sogo malam ini atas faktor keselamatan awam dan bantahan pemilik premis sekitar.
Perhimpunan di sekitar Sogo tidak dibenarkan selepas polis menilai risiko keselamatan dan menerima bantahan pemilik premis. | Gambar: Scoop.my

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Surat bantahan daripada pemilik beberapa premis sekitar Kompleks Sogo menjadi faktor utama polis tidak membenarkan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) diteruskan di lokasi itu, malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima bantahan rasmi daripada pengurusan Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons serta premis berhampiran yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan dan orang awam.

Menurut beliau, kebimbangan itu turut berkait dengan peningkatan jumlah pengunjung sempena musim perayaan, sekali gus meningkatkan risiko gangguan keselamatan sekiranya perhimpunan diteruskan.

Baca juga:

Risikan keselamatan dedah risiko gangguan awam

Selain bantahan pemilik premis, polis turut menjalankan risikan keselamatan yang mendapati wujud kemungkinan berlaku gangguan ketenteraman awam di kawasan berkenaan.

“Maklumat bebas yang diperoleh menunjukkan terdapat potensi berlaku pecah keamanan dan ancaman keselamatan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan penilaian itu, pihak polis mengambil keputusan untuk tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Tindakan tegas jika cetus kekacauan

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan awam di sekitar lokasi terbabit.

Polis juga memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu ketenteraman.

Dalam pada itu, Fadil memaklumkan pihaknya menerima surat pemakluman daripada penyelaras GARAH pada Selasa lalu, sebelum Ketua Polis Daerah Dang Wangi mengadakan perbincangan dengan penganjur pada Khamis.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira semua faktor keselamatan, pihak polis memutuskan perhimpunan tersebut tidak sesuai diteruskan pada masa ini.

Sumber: Bernama

Related Posts