Polis tahan suspek wanita dipercayai terlibat dengan kes kematian Esha | The Reporter

Polis tahan suspek wanita dipercayai terlibat dengan kes kematian Esha

Gambar kiri, mangsa. Gambar kanan, status salah seorang suspek.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pempengaruh tempatan, Rajeswary Appahu atau lebih dikenali sebagai Esha, 28, dilaporkan meninggal dunia pada Khamis lalu, akibat tekanan perasaan selepas dibuli di media sosial.

Menurut laporan media, tiga individu yang disyaki menjadi punca kematian Esha adalah, Shalini Periasamy (alphaquinnsha), Dhanya Neevashinie Shankar dan Dulal Brothers.

Ketiga-tiga suspek didakwa telah memfitnah dan membuat ancaman terhadap mangsa secara terbuka melalui platform TikTok.

Polis tahan suspek wanita

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 39 tahun mengenai ugutan melalui aplikasi TikTok terhadap pempengaruh, Esha.

Siasatan polis mendapati kejadian berlaku pada 30 Jun, 10.15 malam dan 1 Julai, 4.10 pagi, di mana pengadu ternampak dua posting di Tiktok Dulal Brothers dan Alphaquinnsha memfitnah dan mengugut mangsa.

Kedua-dua TikToker terbabit telah menggunakan gambar mangsa sebagai latar belakang video dan kandungannya turut mengandungi ugutan, ancaman, kata-kata kesat dan lucah dilemparkan terhadap mangsa.

Bagaimanapun semakan mendapati video tersebut telah dipadamkan.

Polis kemudian menahan seorang suspek wanita warga tempatan berusia 35 tahun di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, yang dipercayai terlibat dalam kes ini.

Suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memuat naik sebarang artikel atau kandungan yang boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.

Related Posts