Polis nafi dakwaan TikToker tularkan video sebuah kereta mewah mempunyai 397 saman bernilai RM118,700

TikToker Montkiaraslut dakwa kereta Mercedes Benz P3 punyai 397 saman tertunggak

Seorang pengguna TikTok semalam memuat naik video yang mendakwa pemilik sebuah kereta jenis Mercedes Benz dengan nombor pendaftaran P3 mempunyai sebanyak 397 saman trafik yang masih belum dibayar.

“Kereta Penang plat P3 sangat cantik. Ada 397 saman bersamaan dengan RM118,700. Anthony Loke pun tak boleh buat apa,” katanya.

Video tersebut mengundang reaksi orang ramai yang ada segelintirnya turut mengambil peluang membidas pihak berkuasa yang didakwa tidak berani mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan mewah.

“Aku satu saman terus kena blacklist dan kena naik mahkamah bagai, tak boleh renew lesen dan road tax. Ini P3 sampai RM118,700. Dasar enforcement Malaysia lemah!” komen Noktah 21.

“Macam mana dia boleh renew road tax. Lepas pula dari roadblock. Kalau kena kat motosikal, dicarinya salah sampai jumpa, kena sita pula tu,” komen BlackShark.

Bagaimanapun, siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, dakwaan pengguna TikTok itu adalah tidak benar.

“Semakan saman PDRM ke atas nombor pendaftaran kenderaan tersebut mendapati, tiada sebarang tunggakan saman seperti yang dinyatakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook JSPT PDRM.

Dalam pada itu, JSPT menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak benar kerana perbuatan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Total
0
Shares
Related Posts