Beberapa hari lalu tular di media sosial gambar kad jemputan ke acara ‘Gang Bang JB Party’ di laman Twitter yang mempromosikan aktiviti seks bebas, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menurut maklumat yang tertera pada kad jemputan itu, acara tidak bermoral itu dijadualkan berlangsung pada jam 4 petang hingga 9 malam, 20 Jun 2023.
Penganjur yang dikenali sebagai @king_4077 berkata, pihaknya menawarkan dua wanita yang melayani 20 lelaki sekali gus.
Perkara itu diketahui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kemudian terus mengeluarkan amaran kepada pihak berkenaan untuk tidak menganjurkan acara tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan terhadap sebarang penganjuran aktiviti sosial bagi mengekang kegiatan maksiat berlaku di negeri itu.
“Polis Johor memberi amaran yang keras kepada penganjur acara ‘Gang Bang JB Party’ supaya acara berkenaan tidak diteruskan dan dibatalkan.
“Kita juga akan membuat pemantauan berterusan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya lapor Harian Metro, Khamis, 25 Mei 2023.
Tambahnya, acara yang hendak dianjurkan itu adalah jelas menyalahi undang-undang dan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 292(e) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 bagi kesalahan menyebarkan kad jemputan itu melalui media sosial.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Polis Johor di talian 017-2212999. Orang awam juga dilarang membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan dan menggugat ketenteraman awam.