Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Beberapa hari lalu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan komitmen gabungan itu untuk memulangkan 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip dari Sabah kepada kerajaan negeri. Beliau berkata langkah itu selaras dengan tuntutan Perlembagaan Persekutuan dan akan menjadi antara teras utama manifesto PN menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Muhyiddin turut memberi jaminan, sekiranya PN diberi mandat, gabungan itu akan menumpukan usaha menyelesaikan masalah asas yang membelenggu rakyat Sabah termasuk infrastruktur, bekalan air dan elektrik. Laporan Free Malaysia Today memetik beliau sebagai berkata, perkara tersebut akan diperincikan dalam manifesto rasmi PN.
Selain itu, Muhyiddin mengesahkan PN sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan sebuah parti tempatan, namun menolak sebarang pakatan dengan Pakatan Harapan (PH) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Baca juga:
- ‘Tak mahu minta maaf tak apa, teruskan pusing sana sini’ – Akmal Saleh
- ‘Untuk apa saya minta maaf?’ – Wee Ka Siong jawab desakan Akmal Saleh
- Ridhuan Tee tegur Bersatu, jangan berebut jawatan PM
Keraguan terhadap keikhlasan janji
Namun, beberapa pemimpin tempatan mula mempertikai keikhlasan PN. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjong, Justin Wong daripada Warisan, menyifatkan pengumuman Muhyiddin itu sekadar retorik pilihan raya.
Beliau mengingatkan bahawa ketika Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri pada 2020, tiada langkah konkrit diambil untuk melaksanakan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ketika kerajaan negeri dan persekutuan sehaluan pun, hak Sabah tidak dipulangkan. Kini menjelang PRN17, janji sama diulang lagi. Adakah pengundi masih percaya?” soalnya.
Justin turut memberi amaran percubaan parti Semenanjung bekerjasama dengan parti tempatan secara longgar menjelang PRN17 boleh menimbulkan perebutan kuasa dan melambatkan pembangunan negeri.
Suara kritikal dari LDP
Nada skeptikal turut disuarakan Parti Liberal Demokratik (LDP), komponen kerajaan negeri GRS-Plus. Ketua Penerangannya, Nicholas Ban menyifatkan janji PN itu sebagai muslihat politik yang diulang setiap musim pilihan raya.
“Semasa PN berkuasa, Sabah tidak pernah dilayan dengan adil. Mengapa hanya ketika pilihan raya baru mahu mengungkit soal 40 peratus hasil? Ini penghinaan terhadap kewarasan rakyat,” katanya dipetik Daily Express baru-baru ini.
Nicholas menegaskan Sabah berhak mendapat 40 peratus hasil bersih kutipan seperti termaktub dalam Artikel 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, namun mekanismenya digantung sejak 1974 dan diganti dengan pemberian geran khas tambahan. Menurutnya, rakyat Sabah kini menuntut jaminan undang-undang yang mengikat, bukannya sekadar “gula-gula” kempen.
Baca juga:
- Gaji rendah buat pekerja Indonesia tidak berminat bekerja di Malaysia
- 120 ketua bahagian tandatangan SD desak Muhyiddin berundur, serah kuasa kepada Hamzah
- Anjing serang kanak-kanak di Taman Megah disahkan tiada pemilik
Realiti politik menjelang PRN17
Sementara PN cuba membawa naratif “mengembalikan hak Sabah”, Warisan pula menekankan bahawa trend politik kini lebih cenderung kepada slogan “orang Sabah memimpin Sabah”, dengan mencontohi model Sarawak yang dipimpin sepenuhnya oleh parti tempatan.
Dalam masa sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sudah memberi bayangan Dewan Undangan Negeri bakal dibubarkan tidak lama lagi, menandakan gelanggang PRN17 semakin hampir dibuka.