Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan pihak kerajaan telah membayar ex-gratia sebanyak RM1.5 juta kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib pada 20 November 2021.
Anggota bomba, Muhammad Adib, meninggal dunia dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada tahun 2018 dan kes itu kini sedang disiasat secara menyeluruh dan telus untuk memberi pembelaan sewajarnya.
Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 66, berkata, keluarganya bersyukur dengan pemberian tersebut dan memaklumkan sebahagian daripada wang itu akan disumbangkan kepada masjid.
“Wang ini juga saya akan gunakan sebaik mungkin untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga dan dalam masa yang samawang ini akan turut disumbangkan kepada masjid. Saya akan gunakan wang ini untuk wakafkan sesuatu atas nama arwah,” katanya.
Bagaimanapun, kenyataan Ismail Sabri itu menarik perhatian DAP yang juga menuntut jumlah pembayaran yang sama diberi kepada mendiang Teoh Beng Hock dan juga semua indvidu yang mati ketika berada dalam tahanan polis.
Lim Guan Eng berkata, “Menyeru kepada kerajaan untuk menghukum mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan Muhammad Adib, Teoh Beng Hock dan mereka yang mati dalam tahanan.
“DAP mengalu-alukan pembayaran ganti rugi sebanyak RM1.5 juta ini kepada keluarga Muhammad Adib. Tetapi pembayaran yang sama diberikan kepada keluarga Teoh Beng Hock dan juga mereka yang mati dalam tahanan,” katanya.
Mendiang Teoh Beng Hock dilaporkan maut pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, Shah Alam, ibu pejabat lama SPRM Selangor di mana ketika itu mendiang ditahan semalaman untuk disoal siasat berkaitan beberapa kes rasuah yang melibatkan pemimpin pembangkang.
Jabatan Peguam Negara bagaimanapun mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kematian Beng Hock pada tahun 2016.
Sumber: Malaysia Gazette, Harian Metro