'Pintu kabinet dapur pecah diterajang, bong hisap syabu, spenda reput, kondom ditemui' - Pemilik rumah akui serik nak sewa rumah kepada pelajar universiti - The Reporter

‘Pintu kabinet dapur pecah diterajang, bong hisap syabu, spenda reput, kondom ditemui’ – Pemilik rumah akui serik nak sewa rumah kepada pelajar universiti

Sebelum ini, ada seorang pelajar Universiti Awam (UA) meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap pihak universiti yang mengkehendaki semua pelajar hadir 100 peratus pada semester depan. 

Pelajar terbabit memberi alasan bahawa pelajar dari golongan berpendapat rendah sukar mencari bilik/rumah sewa kerana kosnya yang terlalu tinggi dan di luar kemampuan mereka. 

“Saya susah mencari rumah sewa sebab mahal, deposit tinggi, jauh (tiada kenderaan sendiri). Parent pun terpaksa pinjam Ah Long untuk tanggung pembelajaran saya. 

“Kenapa kami pelajar dilayan sebegini? Apa salah kami? Isu ini membuatkan saya butu dan ada rasa nak bun*h diri. UA nak suruh pelajar pacak khemah depan kampus ke? Nak suruh pelajar jalan kaki ke kampus?” katanya. 

Baca: ‘Kenapa kami dilayan sebegini? Nak suruh pelajar pacak khemah depan kampus ke?’ – Pelajar tertekan, dakwa pihak Universiti Awam enggan bantu isu tempat tinggal

Bercakap mengenai rumah sewa, tampil seorang wanita, Zeeda Aziz, berkongsi pengalaman menyewa rumahnya kepada pelajar dengan harga sewaan yang dianggapnya berpatutan serta tidak membebankan pelajar. 

Malangnya, dia tidak menyangka rumahnya ditinggalkan dalam keadaan rosak dan dia mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit. 

“Saya pernah membuka peluang kepada pelajar menyewa apartment saya di Bangi. Ketika itu saya masih naif dan bersangka baik. Deposit rendah, harga sewa murah, apartment pun fully furnished. Saya siap belikan tilam untuk penghuni. 

“Tamat saya semester, rumah dipulangkan dalam keadaan yang tak terluah dengan kata-kata. Terduduk saya tengok rumah hancur. Seminggu saya dengan suami menyewa di hotel untuk ulang-alik membersihkan lantai yang berdaki, bilik air berlumut kuning hijau. Mangkuk tandas nak saya cerita tak warnanya?

“Pintu kabinet dapur pecah diterajang penghuni, ‘Bong’ untuk hisap syabu dijumpai, kotak rokok, kondom, spenda reput… semua berterabur di atas lantai ruang tamu. Yang menyewa ini anak-anak bangsa saya sendiri yang saya anggap sebagai anak. Tetapi kenapa hauk sangat perangai?” katanya. 

Bukan itu sahaja, penyewa terbabit telah melarikan diri tanpa melunaskan bil elektrik sebanyak RM1,500. Dan wang deposit RM500 tidak dapat menanggung kesemua kerosakan dan kerugian tersebut. 

Bagaimanapun, hal itu tidak mematahkan semangat Zeeda untuk mencuba sekali lagi. Untuk sewaan kali kedua, Zeeda menggunakan khidmat peguam (RM500) dan ‘agreement tenancy’ ditandatangan penyewa di hadapan peguamnya. Zeeda juga tegas mengingatkan penyewa baru agar menjaga rumah itu sebaik mungkin jika mahu deposit dikembalikan. 

“Saya pesan pada penyewa supaya patuhi peraturan pada perjanjian sewaan. Ya, saya ambil deposit tinggi tetapi akan dipulangkan jika rumah ditinggalkan dalam keadaan yang baik. 

“Tiga bulan sebelum mereka tamat tempoh sewaan, saya WhatsApp banyak kali beritahu supaya bersihkan rumah sebelum keluar. Budak-budak ini menjawab ‘Ya puan, ya puan’. Pada hari kunci dipulangkan, Allahu, ranap lagi. 

“Dalam keadaan demam saya dan suami mengemas rumah yang tunggang terbalik. Sampah tak dibuang, sinki berkerak, bilik air kotor,” katanya. 

Menurut Zeeda, bekas penyewa itu kemudian menuntut dia memulangkan wang deposit itu dengan alasan mereka dari keluarga susah dan memerlukan duit. Tetapi Zeeda enggan melayani mereka kerana masih berpegang pada perjanjian yang telah dibuat. 

“Saya kata perjanjian sewaan itu dibuat dengan kehadiran peguam. Malang sekali budak-budak ini yang melanggar peraturan dalam perjanjian itu. Jadi, saya tak pulangkan wang deposit sebab saya perlu membaikpulih kerosakan yang dianggarkan beribu ringgit,” katanya. 

Dalam pada itu, Zeeda tidak menafikan ramai pemilik rumah yang takut menyewakan kediaman mereka kepada para pelajar termasuk dirinya kerana bimbang rumah rosak.

“Nak kesian pada pelajar yang baru nak mula hidup ini? Masalahnya saya dah terkena dengan golongan inilah. Nanti ada orang marah saya pukul rata, tetapi saya hanya menceritakan pengalaman saya dan tidak suka mengambil risiko banyak kali. 

“Juga, menyewa rumah kepada pelajar bukannya boleh kaya pun. Bayar pinjaman rumah sebulan RM900, sewa RM1,600 (fully furnished). Mana untungnya? 

“Apa pun, rumah saya sekarang ini disewakan kepada ahli keluarga sendiri yang boleh dipercayai. Bila pindah, tak bawa barang banyak. Tak perlu minta deposit. Alhamdulillah dah tiga tahun mereka menghuni, rumah kemas dan bersih. Tenang je hati. 

“Kepada pelajar-pelajar yang masih mencari-cari rumah sewa, saya hanya boleh kata good luck. Salahkan senior-senior hangpa yang meninggalkan trauma kepada pemilik-pemilik rumah,” katanya. 

Sumber: Zeeda Aziz

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!