Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan skuad Harimau Malaya.
Katanya, pelantikan Cklamovski sebagai satu permulaan kepada revolusi untuk memperkasakan skuad bola sepak kebangsaan.
Menerusi kenyataan Facebook FAM, bekas pengurus FC Tokyo itu dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa bermula dengan kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac depan.
Cklamovski yang kini berusia 46 tahun pernah bekerja selama lebih 15 tahun di bawah pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou ketika mereka bersama-sama mengemudi skuad kebangsaan Australia menjuarai Piala Asia 2015 dan kemudian menjuarai Liga J1 2019 ketika mereka mengemudi kelab Jepun, Yokohama F. Marinos.
“Sebagai permulaan, misi utama Cklamovski adalah untuk memastikan skuad Harimau Malaya berjaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi, selain memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia,” katanya.
Dalam pada itu, seperti dijangka bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain pula dilantik menjawat jawatan sebagai Ketua Jurulatih B-23 Kebangsaan bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan.
“Dengan kehadiran Nafuzi ini, pastinya tugasan penting untuk skuad B-23 kebangsaan pada tahun 2025 adalah untuk kembali bangkit pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand,” katanya.
FAM memaklumkan kedua-dua mereka akan memulakan tugasan secara rasmi bersama FAM pada 1 Januari 2025.
Sementara itu juga, FAM mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan perubatan berpengalaman baharu akan dilantik bagi membantu penstrukturan semula FAM untuk memastikan perjalanan operasi organisasi berjalan dengan lebih cekap serta profesional.
“Pasukan perubatan akan mula menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk membantu memastikan pemain-pemain Harimau Malaya sentiasa mendapat perkhidmatan dan rawatan perubatan yang terbaik,” katanya.