Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Setiausaha Agung KEADILAN, Dr Fuziah Salleh, menegaskan bahawa permohonan keanggotaan aktivis tanah, Tamim Dahri Abdul Razak, untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR/KEADILAN) masih dalam proses saringan parti dan belum diluluskan.
“Seperti mana-mana permohonan keanggotaan lain, setiap permohonan perlu melalui prosedur yang ditetapkan sebelum sebarang keputusan dibuat,” jelas Dr Fuziah.
Tamim dikatakan mengemukakan permohonan menyertai parti itu pada 5 Mac 2026.
Bagaimanapun, Tamim menjelaskan bahawa ‘permohonannya’ hanyalah satu bentuk sindiran dan tidak sepatutnya dianggap serius. Tindakan itu ditujukan khusus kepada Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, susulan beberapa sekatan yang didakwa dikenakan terhadap akaun media sosial miliknya.
“Sebenarnya itu sindiran kepada Fahmi Fadzil kerana beberapa siri sekatan yang menyebabkan akaun Facebook persendirian saya dan halaman Tanah Malaya disekat,” katanya.
Baca juga:
- Banduan lari dari Penjara Sungai Buloh diberkas semula
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
Memetik laporan Sinar Harian, Tamim berkata, sekatan tersebut menyebabkan akaun peribadi serta halaman Tanah Malaya tidak lagi dapat diakses sejak bulan lalu, termasuk platform tanahmalaya.com yang dilancarkan pada November tahun lalu.
Tamim menambah bahawa idea untuk ‘memohon’ menyertai PKR timbul kerana Fahmi merupakan pemimpin daripada parti itu.
“Saya pilih PKR kerana Fahmi Fadzil adalah pemimpin daripada parti itu,” ujarnya.
Tindakan tersebut juga merupakan sindiran kepada pihak tertentu yang menuduhnya sebagai penyokong Perikatan Nasional (PN) serta melabelkannya dengan ejekan ‘walaun’.








