'Penyewa tinggalkan rumah sewa hancur, penuh tahi kucing' - Pemilik rumah terkilan dianiaya penyewa ini - The Reporter

‘Penyewa tinggalkan rumah sewa hancur, penuh tahi kucing’ – Pemilik rumah terkilan dianiaya penyewa ini

Rumah yang dihias dengan cantik lengkap dengan segala perabot asas ini disewakan kepada penyewa dengan harapan ianya dijaga dengan baik seperti rumah sendiri. 
Malangnya, harapan itu musnah apabila si penyewa dengan tergamaknya menganiaya pemiliknya dengan tidak membayar bil utiliti, sewa rumah, malah menghancurkan rumah sewa itu. 

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Suraya Md Amin berkata, dia mendedahkan perkara itu di Facebooknya bukan bertujuan mengaibkan bekas penyewanya itu tetapi berharap agar orang ramai mengambil iktibar dari kejadian itu. 
“Penyewa tinggalkan rumah yang hancur dan penuh dengan tahi kucing sebagai kenangan untuk tuan rumah. 
“Oh ya dan juga meninggalkan hutang rumah sewa selama empat bulan dan segala bil-bil utiliti yang tidak pernah berbayar,” katanya. 

Bukan tidak pernah meminta bayaran sewa, tetapi sudah berpuluh kali Suraya meminta penyewa itu melaksanakan tanggungjawabnya. Namun, alasan demi alasan yang tidak masuk akal diberikannya seperti: 
  • Kehabisan wang kerana menguruskan pengebumian adiknya.
  • Perlu bayar hutang abangnya yang berhutang dengan Ah Long. 
  • Sistem Grab Car buat hal menyebabkan dia tidak dapat keluarkan wang.
  • Tunggu hujung bulan baru dapat bayar sewa rumah.
  • Gaji kecil, hanya RM2,300 sebulan. 

“Rasa macam nak cekik saja orang ini. Saya tak pernah paksa pun dia menyewa rumah saya. Sudah empat kali saya suruh dia berpindah keluar, tetapi dia memang hati kering dan sifat malunya senipis kulit bawang. 
“Dia kata yang dia hanya akan keluar bila dapat surat dari mahkamah. Omaigod, ini manusia dari planet mana ni? Memang pemikiran di luar kotak. Dah melampau,” katanya. 
Difahamkan laporan polis juga telah dibuat, tetapi pihak polis tidak dapat mencampuri urusan itu kerana kes itu adalah kes sivil. 

Walau bagaimanapun pegawai penyiasat menasihatkan Suraya untuk mengunci pintu rumah dengan selak mangga dan beri notis arahan berpindah keluar dalam tempoh tujuh hari atau barang-barang di dalam rumah akan disita untuk dicagarkan. 
“Ingatkan dah selesai, rupa-rupanya dia dengan tanpa rasa bersalah pergi memotong mangga itu dan kemudian meneruskan kehidupannya seperti biasa. Ya Allah, hebatnya ujianMu. 
“Dipendekkan cerita, dia berjanji akan menyelesaikan sewa tertunggak dan akan menyerahkan kembali rumah itu dalam keadaan yang bersih. 
“Tetapi sekali lagi saya ditipu dan dia awal-awal lagi sudah melarikan diri dengan meninggalkan rumah itu dalam keadaan teruk di mana saluran air tersumbat dengan tahi kucing, tombol pintu dipecahkan bagai. 
“Ini baru enam bulan. Kalau setahun tak tahulah macam mana keadaan rumah ini, mungkin sudah menjadi sangkar kucing agaknya. 
“Kepada sesiapa yang nak mencari penyewa, berhati-hati. Jangan menilai bakal penyewa berdasarkan penampilan luarannya. Rambut sama hitam tetapi hatinya kita tidak tahu. Sepekara lagi, jangan mudah berasa kasihan dengan orang,” katanya. 
Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!