Penunggang Motosikal Diharamkan Guna Lorong Kanan

SHAH ALAM – Kesemua penguatkuasa trafik akan diminta mengharamkan penunggang motosikal menunggang di lorong kanan atau lorong memotong, demikian kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Azizi Kaprawi. 
Lapor The Sun Daily, adalah tidak mustahil juga undang-undang akan mewajibkan penunggang motosikal memakai vest pantul cahaya yang akan diperkenalkan masa hadapan. 
Pengharaman penggunaan lorong kanan atau lorong memotong bagi penunggang motosikal sepatutnya dikuatkuasakan secepat mungkin bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di kalangan penunggang motosikal. 
“Motosikal tidak sepatutnya berada di lorong kanan atau lorong laju. Ada penunggang yang masih mengabaikan undang-undang itu tanpa memikirkan keselamatan mereka.
“Penunggang motosikal harus berfikir akan keselamatan mereka. Mereka sepatutnya mudah dilihat di atas jalan raya. Kami juga sedang merangka program-program sokongan untuk menggalakkan penunggang motosikal memakai jaket pantul cahaya atau berwarna cerah.
“Pihak kementerian akan berbincang dengan polis trafik akan cara terbaik bagi memperkenalkan undang-undang tersebut,” katanya semasa kempen keselamatan lalulintas untuk penunggang motosikal yang dianjurkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Kumpulan Linde di Shah Alam, semalam. 
Menurut beliau, hanya Malaysia satu-satunya negara yang masih tidak mematuhi undang-undang mengharamkan motosikal di laluan kanan lebuh raya.
Statistik tahun 2015 menunjukkan seramai 4,203 penunggang motosikal maut dalam kemalangan, berbanding 4,171 kematian bagi tahun 2014. 
Sementara itu, laman Careta.my pula menyokong segala usaha baik itu, namun meminta kerajaan mempertingkatkan keselamatan di lorong-lorong motosikal. 

“Jika keselamatan menjadi objektif utama, mungkin pembeinaan lorong bermotosikal akan lebih berkesan kerana lorong perlahan dipenuhi dengan kenderaan berat yang bergerak pelahan. 

“Ini akan menyebabkan motosikal terpaksa memotong dengan lebih kerap, lalu menaikkan risiko kemalangan,” kata laman itu. – PIXEL MEDIA
Total
0
Shares
Related Posts