Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Lelaki Vietnam buat gurauan ada bom selepas turun dari pesawat Malaysia Airlines di Hanoi
• Kotak disyaki bom rupanya hanya berisi papan kekunci dan tetikus komputer
• Didenda VND4 juta (RM730) kerana mencetuskan kegusaran awam
Seorang lelaki Vietnam berusia 38 tahun dikenakan denda selepas membuat gurauan tidak bertempat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi. Insiden berlaku sebaik sahaja pesawat Malaysia Airlines MH752 dari Kuala Lumpur mendarat pada 22 Jun lalu.
Menurut laporan media tempatan, lelaki itu bergurau dengan pramugari sambil menunjuk ke arah sebuah kotak hitam yang dibawanya, lalu berkata, “Saya ada bom.”
Apa sebenarnya dalam kotak hitam itu?
Gurauan tersebut mencetuskan kebimbangan dan pramugari berkenaan segera melaporkannya kepada pihak keselamatan lapangan terbang. Lelaki itu ditahan dan terus dibawa ke kawasan pemeriksaan khas untuk siasatan lanjut.
Selepas selesai pemeriksaan, pihak berkuasa mendapati kotak hitam itu hanya mengandungi papan kekunci dan tetikus komputer. Tiada sebarang ancaman ditemui.

Walaupun tidak membawa bahan berbahaya, lelaki itu tetap dikenakan tindakan kerana gurauan seumpama itu dianggap serius, terutama dalam kawasan sensitif seperti lapangan terbang.
Denda kerana sebab keselamatan
Pihak berkuasa mengenakan denda sebanyak VND4 juta (kira-kira RM730) terhadap lelaki itu atas kesalahan mencetuskan ketakutan awam. Pegawai keselamatan turut menegaskan gurauan berkaitan bom bukan perkara remeh dan boleh mengganggu operasi penerbangan serta mencetuskan panik.
Menurut mereka, jika kenyataan itu dibuat sebelum pesawat berlepas, kemungkinan besar pesawat akan ditangguhkan dan semua penumpang perlu menjalani pemeriksaan keselamatan semula.
Jangan bergurau sembarangan di lapangan terbang
“Gurauan tentang bom, walaupun dibuat tanpa niat jahat, tetap akan dianggap serius kerana ia melibatkan keselamatan ramai orang,” kata seorang jurucakap keselamatan.
Pihak berkuasa berharap kejadian ini menjadi pengajaran agar penumpang lebih berhati-hati dan tidak membuat kenyataan berbaur ancaman, walaupun sekadar bergurau.








