Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang penumpang e-Hailing mendakwa terpaksa berdepan detik mencemaskan apabila pemandu yang menerima tempahannya memandu dalam keadaan tidak stabil dan dipercayai berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
Insiden tersebut berlaku pada pagi tadi, semasa pengadu dikenali sebagai Raul bersama keluarganya dalam perjalanan ke Stadium Titiwangsa dari Cheras.
Menurut Raul, dia memilih untuk menggunakan perkhidmatan e-Hailing tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat. Namun, sebaik menaiki kereta jenis Proton Saga BLM putih dengan nombor pendaftaran WYT 9873, dia mula curiga apabila menghidu bau yang kurang menyenangkan di dalam kenderaan itu.
Sebaik sahaja kereta mula bergerak, pemandu tersebut gagal memasukkan gear dengan betul, menyebabkan enjin meraung. Raul kemudian menegur perkara itu, tetapi pemandu berkenaan hanya ketawa dan matanya yang kelihatan ‘lalok’.
“Masa itu, saya dah mula syak dia tidak berada dalam keadaan normal,” katanya.
Lebih mencemaskan, pemandu terbabit memecut laju sambil menukar arah secara tiba-tiba, selain hampir melanggar kenderaan dan motosikal lain. Malah, dia bertindak menekan butang ‘Complete Order’ meskipun perjalanan baru bermula, tambah Raul.
Merasa keselamatan keluarganya terancam, Raul segera bertindak menarik brek tangan kereta untuk memberhentikannya. Dia kemudian mengarahkan isterinya dan dua anaknya keluar dari kenderaan itu sebelum berlaku perkara lebih buruk.
“Kami baru bergerak tidak sampai 1 kilometer. Kalau teruskan, entah apa yang akan jadi,” ujar Raul yang bersyukur keluarganya selamat.
Kes ini mendapat perhatian netizen, yang rata-rata menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pemandu yang cuai dan tidak bertanggungjawab.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut tentang tindakan susulan dari pihak e-Hailing atau pihak berkuasa.