Penjawat Awam lantikan baru takkan rugi jika carum KWSP | The Reporter

Penjawat Awam lantikan baru takkan rugi jika carum KWSP

Kredit foto: The Rakyat Post

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan telah mencadangkan skim caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk penjawat awam lantikan baru.

Menurut Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, cadangan ini tidak akan merugikan kakitangan awam. Sebaliknya, ia memberi pilihan yang lebih baik dari segi fiskal dan faedah yang setara dengan skim pencen sedia ada.

Amir Hamzah menjelaskan, caruman KWSP akan mengikuti penjawat awam jika mereka berpindah kerja, memberikan fleksibiliti yang lebih besar.

“Kalau dia berkhidmat dengan kerajaan, dia mendapat pulangan yang lebih kurang sama dan dari segi faedah, ia tidak akan kurang daripada apa yang ada sekarang.

“Jadi, mereka tidak akan rugi apa-apa. Kalau dia pindah ke tempat lain caruman itu akan mengikut dia ke tempat baru dia, itu saya kata mereka mempunyai pilihan yang bagus,” katanya memetik laporan dari MalaysiaKini.

Beliau juga menekankan bahawa kerajaan perlu memperjelaskan cadangan ini untuk memastikan semua pihak memahami manfaatnya.

Bagaimanapun, cadangan ini masih dalam peringkat perbincangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dijangka akan ada penjelasan lanjut sebelum akhir tahun ini.

Pada awal tahun ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, pengambilan penjawat awam baru secara kontrak adalah sementara sebelum kabinet meluluskan dasar pengambilan tetap tanpa pencen. Penjawat awam sedia ada tidak terjejas, tetapi penjawat awam baru perlu mencarum kepada KWSP.

Kenapa cadang Skim KWSP?

Kerajaan sebelum mencadangkan skim caruman KWSP untuk penjawat awam lantikan baru sebagai langkah untuk mengelakkan risiko muflis negara di masa hadapan.

Berikut adalah beberapa sebab utama di sebalik cadangan ini:

  1. Mengurangkan Beban Perbelanjaan Kerajaan: Pembayaran pencen kepada penjawat awam dijangka meningkat sehingga RM120 bilion pada tahun 2040. Dengan memperkenalkan skim KWSP, kerajaan dapat mengurangkan beban kewangan ini.
  2. Pilihan yang Lebih Fleksibel: Skim KWSP memberi pilihan kepada penjawat awam untuk membawa caruman mereka ke tempat kerja baru jika mereka berpindah. Ini memberikan fleksibiliti yang lebih besar berbanding sistem pencen tradisional.
  3. Kesejahteraan Jangka Panjang: Walaupun terdapat kebimbangan mengenai pengurusan kewangan individu selepas bersara, kerajaan percaya bahawa skim KWSP dapat memberikan pulangan yang setara dengan sistem pencen sedia ada.
  4. Mengelakkan Generasi Sandwich: Dengan skim KWSP, diharapkan generasi muda tidak perlu menanggung beban kewangan ibu bapa mereka yang bersara, yang boleh mengurangkan tekanan ekonomi pada keluarga muda.
Related Posts