Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Padah memuat naik komen berunsur jelik terhadap 10 mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut tempoh hari, seorang peniaga online dikenakan hukuman denda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini.
Tertuduh, Mohd Saifuddin Shafik, 36, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan membuat permohonan maaf kepada semua anggota keluarga mangsa, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Secara tulus ikhlas, saya mohon maaf kepada semua ahli keluarga mangsa dan anggota tentera.
“Saya memang amat menyesal dengan tingkah laku saya. Di sini saya juga ingin memohon maaf secara tulus ikhlas kepada mana-mana orang awam dan seluruh rakyat Malaysia amnya yang terkesan dengan posting saya,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada 23 April lalu, jam 1.15 tengah hari, Saifuddin melalui akaun X dalam keadaan sedar memuat naik komen, “Baru raptai dah mampus. Tak sempat nak pergi perang”, dengan niat menyakiti hati orang lain.
Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman, memohon anak guaman mereka tidak dikenakan hukuman penjara kerana mengalami simptom penyakit Bipolar Disorder, selain perlu menanggung isteri dan kedua ibu bapanya.
Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Wan Azimah Yaacob bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman berat agar menjadi pengajaran kepada semua.
Hakim Nabisha Ibrahim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM23,000 kepada tertuduh atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh memilih untuk membayar denda yang dikenakan.
Sumber: Astro Awani








