Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengusaha bot pelancong selepas tular video memaparkan penumpang mengemudi bot di perairan Pulau Redang dan Pulau Perhentian tanpa kelayakan, serta beberapa penumpang tidak memakai jaket keselamatan.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, siasatan awal mendapati wujud unsur kecuaian apabila nakhoda bot membenarkan penumpang mengendalikan bot, sekali gus melanggar undang-undang dan membahayakan nyawa.
“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mendedahkan penumpang kepada risiko maut. Bot penumpang seharusnya dikendalikan oleh individu yang berlesen dan terlatih.
“Pihak Maritim Malaysia akan memanggil pengusaha bot berkenaan dalam masa terdekat bagi memberikan keterangan berhubung insiden tersebut dan membantu siasatan lanjut,” tegas beliau.
Beliau menegaskan tindakan boleh diambil di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952, termasuk denda, penggantungan lesen, atau penahanan bot.
Sehubungan dengan itu juga, Maritim Malaysia akan terus memantau kandungan media sosial serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha bot yang melanggar aspek keselamatan dan undang-undang laut.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan maritim. Setiap pengusaha perlu lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali memperjudikan nyawa penumpang,” katanya.








