Penganjur Makar Fest XL memohon maaf berhubung isu tular di media sosial berkaitan penganjuran festival berkenaan yang berlangsung baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa acara tersebut telah dilaksanakan mengikut garis panduan hiburan ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Pengarah Festival Makar Fest XL, Issey Fazlisham, berkata penganjuran berkenaan yang berlangsung selama tiga hari itu merupakan edisi kelima dianjurkan pihaknya dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif telah diambil pihak penganjur bagi memastikan pematuhan peraturan sepanjang acara berlangsung, termasuk menayangkan video etika pentas sebelum persembahan bermula sebagai peringatan kepada pengunjung mengenai perkara yang dibenarkan dan dilarang.
“Antara penekanan utama ialah pengasingan lelaki dan perempuan, larangan berjoget, menjaga kebersihan serta memastikan adab dan tertib dipatuhi sepanjang menikmati persembahan,” katanya.
Beliau yang turut bertindak sebagai pengacara pada malam tersebut berkata, peringatan secara langsung juga sentiasa diberikan kepada penonton agar menikmati muzik secara berdisiplin dan tidak melakukan pergerakan yang melanggar garis panduan hiburan.
Walau bagaimanapun, Issey mengakui terdapat segelintir individu yang berada di luar kawalan pihak penganjur dan didapati melakukan pergerakan yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
“Pasukan keselamatan dan kru telah bertindak segera sebaik sahaja situasi tersebut dikesan,” jelasnya.
Tambah beliau, jumlah kehadiran penonton pada malam berkenaan adalah melebihi jangkaan penganjur, sekali gus menjadikan kawalan lebih mencabar di beberapa kawasan tertentu, khususnya apabila kapasiti pengunjung telah penuh.
“Walaupun pengasingan telah dilaksanakan dari bahagian hadapan hingga ke belakang, terdapat kawasan yang sukar dikawal sepenuhnya apabila jumlah pengunjung terlalu ramai. Namun, pasukan kami tetap berusaha mengambil tindakan sebaik mungkin,” katanya.
Baca juga:
- ‘Lu bos ke, gua bos?’ – Lelaki ditahan selepas menyerang MPP Seputeh
- Kumpulan hak asasi haiwan gesa MBS hentikan program serah anjing terbiar
- Tindakan spontan lelaki selamatkan dua kanak-kanak dalam kebakaran raih pujian
Sehubungan itu, pihak penganjur memohon maaf kepada semua pihak atas sebarang kekhilafan yang berlaku dan menegaskan komitmen mereka untuk terus menambah baik aspek pengurusan dan kawalan pada penganjuran akan datang.
“Kami sentiasa terbuka menerima teguran dan cadangan demi memastikan penganjuran yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Issey turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat serta berharap Makar Fest XL dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang di Kelantan.








