Boikot Starbucks beri tamparan hebat, Berjaya Food rugi RM101 juta | The Reporter

Boikot Starbucks beri tamparan hebat, Berjaya Food rugi RM101 juta

Mesin kopi menuang espresso ke dalam cawan putih di kafe
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pendapatan Berjaya Food Bhd untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 merosot hampir 40 peratus kepada RM360.9 juta, berbanding tempoh sama tahun lalu. Pada masa sama, kerugian bersih teras kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM101.2 juta daripada RM38.4 juta, menurut laporan penyelidikan oleh CIMB Securities.

Laporan itu menyatakan bahawa prestasi lemah ini berpunca daripada kejatuhan jualan, khususnya melibatkan rangkaian Starbucks yang terjejas akibat boikot berpanjangan berkait konflik Israel-Palestin. Kos promosi yang tinggi serta keberkesanan operasi yang menurun turut menyumbang kepada kemerosotan ini.

CIMB menjangkakan kerugian akan mula berkurang pada suku keempat selepas berakhirnya bulan Ramadan. Malah, terdapat tanda awal pemulihan di cawangan Starbucks Malaysia apabila kesan boikot dilihat semakin surut. Penutupan cawangan kurang berprestasi juga dilihat sebagai langkah rasional yang boleh mengurangkan kerugian.

Untuk suku ketiga tahun kewangan 2025, Berjaya Food mencatat kerugian bersih teras sebanyak RM36.7 juta, selepas ditolak pelarasan sekali sahaja sebanyak RM500,000 akibat kerugian jualan dan penyusutan aset tetap. Keseluruhan kerugian bersih teras bagi sembilan bulan mencecah RM116.5 juta, melebihi unjuran awal dan anggaran konsensus pasaran.

Selain Starbucks, operasi Kenny Rogers Roasters (KRR) juga menunjukkan prestasi yang lemah. Ditambah pula dengan kos tinggi dari projek pengembangan luar negara, prestasi suku ketiga terus merosot, dengan pendapatan hanya RM113.6 juta.

Menurut CIMB, margin EBITDA bagi suku ini jatuh 5.5 mata peratusan kepada 3.1 peratus, antara lain disebabkan oleh kos operasi permulaan untuk pasaran luar negara. Firma penyelidikan itu turut menyemak semula unjuran kerugian Berjaya Food, dengan kenaikan sebanyak 15 hingga 28 peratus daripada ramalan sebelum ini.

Berdasarkan keadaan semasa, CIMB mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham Berjaya Food dengan harga sasaran ditetapkan pada 28 sen seunit.

Sumber: Berita Harian

Related Posts