Pemuda UMNO tolak cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL | The Reporter

Pemuda UMNO tolak cadangan pilihan raya Datuk Bandar KL

Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menolak cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Gambar: Facebook Dr Akmal Saleh

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, menegaskan bahawa usaha menolak cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur perlu diperjuangkan sebagaimana mereka sebelum ini menentang Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau menyuarakan bantahan terhadap cadangan mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, baru-baru ini.

Memetik laporan Malaysia Kini, Yeoh mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya datuk bandar bagi Kuala Lumpur.

Menurut Yeoh, kajian itu telah bermula sejak Disember lalu selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemukakan oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025. RUU tersebut bertujuan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus ibu negara.

“Struktur pentadbiran sedia ada sudah melibatkan terlalu banyak unit, dengan Kuala Lumpur pada masa ini ditadbir secara serentak oleh seorang datuk bandar, ahli-ahli parlimen, serta penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” jelas Yeoh.

Katanya, pilihan raya Datuk Bandar dilihat lebih praktikal berbanding proses memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui kaedah PBT sedia ada.

Baca juga:

Dalam pada itu, Akmal menegaskan bahawa pihaknya tidak harus lalai terhadap agenda ini.

“Sebelum ini URA, selepas itu pilihan raya PBT, kali ini pilihan raya Datuk Bandar KL pula.

“Mereka tetap bersatu, kita jangan lalai. Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan URA dan pilihan raya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini,” tulis beliau.

Akmal turut menekankan keperluan untuk bersatu, menyedari bahawa perpecahan dalam kalangan mereka memberi kelebihan kepada pihak yang bersatu demi kuasa.

“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa. Mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya.

Related Posts