Pemotong rumput dijel 6 bulan kerana tumbuk & cekik isteri tolak hubungan intim - The Reporter

Pemotong rumput dijel 6 bulan kerana tumbuk & cekik isteri tolak hubungan intim

Pemotong rumput tumbuk isteri
Tertuduh diiringi polis | Foto: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang pemotong rumput berusia 32 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka Ayer Keroh selepas mengaku bersalah memukul isterinya yang menolak permintaan hubungan intim.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas mendengar pengakuan salahnya ketika pertuduhan dibacakan di mahkamah, semalam. Kesalahan tersebut dilakukan pada 10 Januari 2025, kira-kira jam 2 pagi di sebuah bilik kelamin rumah mereka di Jalan Pokok Mangga, Kampung Padang, Melaka Tengah.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk melakukan hubungan intim. Namun, wanita itu menolak kerana penat selepas menjaga anak lelaki mereka yang berusia setahun. Pengadu turut menyatakan ketidakselesaan dengan permintaan tertuduh yang mahukan hubungan intim setiap hari.

Penolakan tersebut menyebabkan tertuduh naik berang sebelum menampar, menumbuk, dan mencekik leher isterinya sehingga mangsa sukar bernafas. Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan bapa mentuanya yang tinggal bersama mereka.

Kes ini didakwa mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun. Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan mangsa ialah isteri tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan telah insaf dan kini tidak lagi tinggal serumah dengan isterinya. Mahkamah akhirnya memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 10 Januari lalu.

Sumber: Malaysia Gazette, Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!