Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Di tengah ketegangan politik antara UMNO dan DAP yang kembali tercetus susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak pelaksanaan Titah Adendum bagi membolehkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, seorang pemimpin DAP tampil membawa nada berbeza dengan menekankan keperluan melihat isu tersebut dari sudut kemanusiaan dan kematangan politik.
Menerusi kenyataan panjang yang dimuat naik di Facebook, Ong Kian Ming menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan. Justeru, katanya, keputusan tersebut wajar dihormati sepenuhnya sebagai ketetapan undang-undang.
Tidak wajar diraikan, utamakan nilai kemanusiaan
Bagaimanapun, Ong berpandangan tiada keperluan untuk mana-mana pihak ‘meraikan’ keputusan mahkamah atau mengeruhkan lagi suasana politik. Menurutnya, Najib telah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun sejak 23 Ogos 2022, selain berdepan isu kesihatan yang berulang kali dibangkitkan oleh ahli keluarganya.
Beliau mengingatkan bahawa Najib merupakan satu-satunya bekas Perdana Menteri Malaysia yang pernah menjalani hukuman penjara, dan situasi itu bukan mudah, lebih-lebih lagi pada usia lanjut. Ong turut menzahirkan empati terhadap keluarga Najib, khususnya anak-anak dan cucu-cucunya, sambil menegaskan bahawa rasa simpati itu tidak bermaksud menafikan kesalahan yang telah berlaku.
Baca juga:
- Pemimpin DAP cadang perbincangan pengampunan penuh Najib
- ‘Tiada keperluan bersimpati dengan penjenayah’ – Tony Pua
- Najib kekal di Penjara Kajang, permohonan tahanan rumah ditolak
Elak tambah perpecahan kaum dan politik
Ong turut menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan meraikan keputusan mahkamah secara terbuka hanya akan menyimbah ‘minyak ke api’ dalam suasana politik yang sudah pun terpecah akibat sentimen perkauman dan keagamaan.
Menurutnya, kenyataan atau reaksi yang dilihat tidak sensitif bukan sahaja mengabaikan perasaan sebahagian masyarakat Melayu yang mungkin tidak menyokong perbuatan Najib dalam skandal 1MDB, tetapi tetap tidak mahu melihat seorang bekas Perdana Menteri dihina secara terbuka. Keadaan itu, katanya, berpotensi melemahkan keupayaan Kerajaan Madani untuk berfungsi dengan berkesan dalam tempoh baki penggal pentadbiran.
Seru perbincangan pengampunan penuh
Dalam nada lebih reflektif, Ong berkata sudah tiba masanya, mungkin bermula pada tahun 2026, untuk memulakan perbincangan serius mengenai kemungkinan pengampunan penuh Najib Razak. Beliau mengakui, pendiriannya telah berubah berbanding tahun 2023 apabila pengampunan penuh itu pernah dianggap sebagai ‘garis merah’ bagi DAP.
Perkembangan politik semasa, termasuk keputusan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, menurutnya, membuatkan beliau tidak lagi yakin bahawa pengampunan penuh terhadap Najib wajar kekal sebagai ‘garis merah’ mutlak.
Baca juga:
- Setahun duduk di KLIA, apa sebenarnya berlaku kepada wanita ini?
- ‘Saya ganti balik, kita tak tahu mereka orang susah’ – Sejak bila empati halalkan jenayah?
- Coach Cerai dakwa mampu nilai jangka hayat perkahwinan hanya dalam lima minit
Ong turut merujuk cadangan “grand amnesty” yang diketengahkan oleh Khairy Jamaluddin, yang menurutnya boleh membuka ruang kepada satu ‘reset politik’ bagi menghentikan amalan menggunakan instrumen negara untuk memburu lawan politik setiap kali berlaku pertukaran kuasa.
Beliau menegaskan, perbincangan mengenai pengampunan penuh tidak bermaksud melupakan kesalahan lampau, sebaliknya sebagai usaha ke arah pendamaian, kematangan demokrasi dan kestabilan jangka panjang negara.
Dalam semangat Krismas, Ong menyeru pendekatan kemaafan tanpa melupakan kesalahan, demi matlamat lebih besar untuk perdamaian dan masa depan Malaysia yang lebih baik.












