Permintaan tinggi sebagai pembuat roti canai di Singapura menyebabkan perekrut menempatkan iklan di surat khabar Malaysia.
Menerusi satu iklan di akhbar tempatan, pembuat roti canai ditawarkan dengan gaji sebanyak RM5,000.
“Gaji RM5,000 dan ke atas, bilik solat, penginapan dan makanan disediakan,” disebut dalam iklan yang diterbitkan.
Walaupun gaji yang ditawarkan dilihat lumayan dan menarik minat ramai, pendapatan yang ditawarkan dianggap tidak mencukup untuk menampung kos hidup di sana.

Tidak cukup untuk gaya hidup selesa
Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, Jeremy Lim berkata walaupun gaji yang diiklankan dilihat banyak bersaing dengan pekerjaan lain, ia mungkin tidak mencukupi untuk gaya hidup yang selesa di luar negara.
“Gaji yang ditawarkan sebenarnya tidak mewah dan agak mencabar untuk ekspatriat(golongan yang berhijrah ke negara asing) menyara kehidupan.
“Sewaan sebuah bilik sahaja boleh berharga antara enam ratus hingga lapan ratus dolar. Kemudian perbelanjaan harian dan pengangkutan akan menelan lebih banyak kos.
“Gaji yang ditawarkan mungkin kelihatan besar dalam ringgit, tetapi apabila ditukarkan kepada dolar Singapura dan mengambil kira kos kehidupan di pulau itu, ia mungkin tidak memberikan kualiti hidup yang diinginkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menambah tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia sedang kehilangan bakat kulineri terutama di Johor yang banyak menyumbang kepada negara jiran.
“Untuk kekalkan individu yang berbakat dan berkemahiran di Malaysia semakin mencabar, terutamanya dalam sektor makanan dan minuman serta peruncitan.
“Peluang di seberang tambak menarik bakat dari Malaysia, didorong bukan sahaja oleh gaji tetapi juga oleh pelbagai peluang yang tersedia.”katanya.
Sumber: NST Online








