Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terpaksa membuat laporan polis ekoran tularnya dokumen sulit pemberian sagu hati kepada kakitangannya bersempena Hari Raya 2023, di media sosial beberapa hari lalu.
Pegawai undang-undang AKSB, Muhammad Amin Shamsudin membuat laporan polis terhadap dua hantaran yang dimuat naik oleh individu yang dikenali sebagai Wan Mahussin Wan Zain, di Balai Polis Kota Bharu, petang semalam.
Dalam pada itu, AKSB menjelaskan pemberian sagu hati itu kepada ahli lembaga pengarah dan kakitangannya adalah bagi meringankan beban mereka untuk menyambut perayaan Aidilfitri seperti mana amalan yang biasa dilakukan dalam syarikat.
“Amalan memberi sagu hati merupakan amalan biasa sebuah syarikat sebagai keraian dan membantu meringankan beban warga syarikat dalam menyambut Aidilfitri.
“Bayaran dibuat mengikut prosedur tadbir urus dan diluluskan lembaga pengarah iaitu badan tertinggi sesebuah syarikat,” katanya dalam kenyataan dikongsikan di Facebook Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial dokumen sulit yang menunjukkan ahli lembaga pengarah AKSB diberi sagu hati RM10,000 setiap seorang, manakala kakitangan diberi RM200 dan setiausaha syarikat pula menerima RM2,000.
Pemberian sagu hati dalam jumlah besar kepada ahli lembaga pengarah itu mengundang kritikan orang awam berikutan masalah bekalan air bersih di negeri Kelantan masih berlaku tetapi badan tertinggi syarikat berkenaan menerima sagu hati yang banyak.
Bagaimanapun, netizen berpendapat walaupun pemberian sagu hati itu mengikut prosedur tetapi dari segi moralnya adalah sangat teruk.
“Memang tak salah tetapi fikirlah sikit golongan bawahan ini. Hidup lagi susah, ditambah tak ada bekalan air bersih. Ahli lembaga pengarah tu orang yang senang lenang, diberi lagi duit, lagi lenang. Nak fikir pasal air buat apa? Diorang dah ada segala-galanya. Pelajar universiti pun terpaksa belajar secara online disebabkan tiada air. Ada mereka fikir pasal ni?” kata netizen.
Sumber: Facebook Urusetia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan