Pemandu Hilux ditahan selepas video langgar Axia tiga kali tular di media sosial | The Reporter

Pemandu Hilux ditahan selepas video langgar Axia tiga kali tular di media sosial

Pemandu Hilux melanggar belakang Perodua Axia dalam kejadian di Jalan Tun Razak, Johor Bahru
Tindakan pemandu Hilux melanggar Axia tiga kali dirakam dan tular di media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Lelaki langgar Axia tiga kali kerana mangsa perlahankan kereta
• Suspek miliki tujuh rekod lampau, negatif dadah
• Kes disiasat di bawah tiga akta termasuk khianat dan pemanduan melulu

Seorang lelaki berusia 50 tahun bertindak luar kawalan apabila melanggar sebuah Perodua Axia sebanyak tiga kali selepas berang kerana kereta itu dipandu perlahan di Jalan Tun Razak, Johor Bahru, pada Ahad lalu.

Insiden itu dirakam dalam video berdurasi 19 saat yang kini tular di media sosial, menunjukkan kenderaan pacuan empat roda itu mengundur beberapa kali dan melanggar kereta mangsa sebelum beredar dari lokasi kejadian..

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mangsa berusia 63 tahun ketika itu memperlahankan keretanya kerana terlepas simpang.

“Suspek yang memandu Hilux dari belakang tidak berpuas hati, lalu memotong secara agresif dan berhenti di hadapan sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Selepas itu, suspek bertindak melanggar Axia mangsa sebanyak tiga kali, menyebabkan kereta itu mengalami kerosakan dengan anggaran kos baik pulih mencecah RM15,300.

Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, namun tiada kes dikehendaki aktif. Ujian air kencing yang dilakukan turut menunjukkan keputusan negatif dadah.

Pihak polis telah membuka kertas siasatan dan suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu, dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cara yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Related Posts