‘Malaysia di tangan kami’ – Pelekat mengandungi tulisan Hebrew pada Isuzu cetus siasatan polis | The Reporter

‘Malaysia di tangan kami’ – Pelekat mengandungi tulisan Hebrew pada Isuzu cetus siasatan polis

Trak Isuzu berwarna perak dengan pelekat biru bertulisan Hebrew di bahagian belakang.
Pelekat tulisan Hebrew pada Isuzu tular dengan frasa kontroversi ‘Malaysia di tangan kami’.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis Melaka mengesahkan pihaknya sedang menyiasat satu kes tular membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) jenis Isuzu yang menampal pelekat mengandungi tulisan Hebrew, selepas video berdurasi 14 saat itu tersebar luas di media sosial.

Ketua Polis Melaka, DCP Dato’ Dzulkhairi Bin Mukhtar, berkata pihaknya menerima laporan polis dibuat pada 7 Oktober lalu jam 3.32 petang oleh seorang pegawai khas agama kepada Timbalan Ketua Menteri Melaka, selepas menonton rakaman tersebut di aplikasi Threads.

Siasatan awal mendapati, tulisan pada pelekat itu membawa maksud, “Malaysia adalah rumah kita!” atau “Malaysia di tangan kami!”. Hasil semakan juga menunjukkan kenderaan tersebut berdaftar atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Baca juga:

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam yang membawa hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun.

Ketua Polis Melaka turut menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak polis. Beliau menegaskan siasatan telus akan dijalankan demi memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terjamin.

Related Posts