Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Video tular seorang pelajar lelaki menjawab pertanyaan gurunya dengan nada yang tidak wajar dalam sebuah kelas mencetuskan pelbagai reaksi netizen sejak semalam. Namun selepas laporan awal diterbitkan, beberapa pengguna media sosial tampil menjelaskan cerita sebenarnya yang berlaku, yang mencabar persepsi awal ramai terhadap insiden itu.
Baca berita berkaitan: ‘Saya datang sekolah nak jumpa girlfriend jer’, tular video pelajar biadab terhadap guru
Seorang individu bernama, Rachel Menaka, mendakwa ibu kepada pelajar berkenaan telah memuat naik video penjelasan di TikTok. Menurutnya, anak lelakinya telah tampil memohon maaf dan mengakui kesalahannya.
Ibunya menyifatkan video itu sebagai pengajaran yang membantu anaknya sedar tentang akibat daripada perbuatannya dan kini dia berusaha untuk berubah serta memberi tumpuan kepada pelajaran.

Sementara itu, Vijay Kumar pula berkata guru itu beberapa kali bertanya semula kepada pelajar tersebut tentang kisah lamanya bercinta dengan seorang pelajar perempuan, kononnya sebagai hukuman sebab dia lupa bawa buku. Pelajar itu kemudian membalas dengan nada kasar kerana berasa malu apabila cikgu menegurnya di depan rakan-rakan sekelas.
Menurut Vijay, video yang tular itu hanya sekadar menunjukkan reaksi pelajar, bukan provokasi yang dikatakan dilakukan oleh guru tersebut.

Pandangan serupa turut dikongsikan oleh Visva Six, yang mendakwa insiden tersebut telah berlaku beberapa bulan lalu dan pelajar terbabit dibesarkan oleh ibu tunggal.
Katanya, pelajar itu telah lama tidak bercinta dan insiden berlaku apabila guru mengungkit kisah lama yang sudah berlalu. Dia turut menyatakan pelajar terbabit telah pun memohon maaf dalam video yang lebih panjang, yang belum tular di media sosial.